Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah (duduk tengah) bergambar kenangan bersama peserta-peserta program selepas menghadiri Program 7th Breast Care Nurse Meeting di Auditorium Institut Kanser Negara, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menambah bilangan petugas kesihatan, antara 350 hingga 400 orang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 untuk melicinkan proses ujian saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan pendaratan yang banyak dalam satu-satu masa menyebabkan penumpang perlu menunggu lama untuk menjalani ujian saringan.

“Kebiasaanya kita melakukan saringan dari 10 hingga 15 minit untuk setiap penumpang termasuklah pemberian maklumat dan nasihat kuarantin dan bahaya Covid-19 sebelum dipakaikan gelang pink.

“Jika ramai melibatkan satu pesawat, ia akan makan masa lebih dua jam. Kalau tiga empat pesawat mendarat pada satu masa makan penumpang mesti ramai dan akan makan masa berjam lama mereka perlulah sabar.

“Tapi keadaan sudah terkawal selepas saya turun sendiri memerhatikan situasi di kedua-dua pintu udara itu dengan petugas kesihatannya ditambah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kanser Payudara di Institut Kanser Negara.

Tambah beliau, pegawai kesihatan tambahan itu telah dikerah dari Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.

untuk menambah kekuatan anggota melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara berkesan tanpa masalah dan ada antaranya yang bertugas dua syif untuk mengurangkan masa menunggu ujian saringan.

Penumpang dari Sabah yang sedang beratur panjang untuk menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). foto MOHD ADZLAN, 27 SEPTEMBER 2020.

Menurut Dr. Noor Hisham, keputusan saringan akan mengambil masa antara 24 jam hingga 72 jam dan sekiranya ada peningkatan kes positif pihaknya akan memperketatkan lagi saringan.

Tambah beliau, kesemua maklumat akan dimasukkan dalam Sistem Maklumat Kesihatan Awam untuk membantu KKM mengambil tindakan lanjut.

“Mereka yang positif akan dihantar terus ke hospital, mereka yang negatif tetapi terdedah dengan kes positif akan dikuarantin juga 14 hari.

“Namun kalau dia negatif tetapi tidak terdedah dengan positif kita melepaskan dari kuarantin wajib tapi akan nasihat kuarantin kendiri,” katanya.

Semalam kesesakan berlaku di lokasi saringan Covid-19 di KLIA dan KLIA2 selepas mereka yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri Sabah pulang. – MalaysiaGazette

Saringan Covid-19 ketibaan dari Sabah: Beratur panjang, tunggu berjam-jam