Dr. Adham memakai pakaian PPE meninjau keadaan kesesakan yang berlaku di KLIA dan KLIA2 berikutan arahan setiap penumpang dari Sabah perlu menjalani saringan kesihatan Covid-19.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 malam tadi, untuk meninjau keadaan kesesakan luar biasa berikutan penumpang dari Sabah perlu menjalani saringan kesihatan Covid-19.

Beliau bersama Pengarah Bahagian Kawaan Penyakit, Dr. Norhayati Rusli tiba di pintu masuk utama terminal udara itu kira-kira jam 10 malam dan mengambil tindakan segera bagi menangani keadaan yang berlaku.

“Pada jam 10 malam tadi, saya dan Dr. Norhayati bergegas ke KLIA dan KLIA2 meninjau sendiri keadaan di sana dan mengambil tindakan segera untuk menangani keadaan yang berlaku.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menghantar “frontliners” dan peralatan tambahan dengan kadar segera bagi mempercepatkan proses saringan Covid-19,” katanya menerusi Facebook beliau awal pagi tadi.

Semalam, Wartawan MalaysiaGazette melaporkan, ratusan penumpang yang tiba di KLIA dari Sabah terpaksa beratur panjang dan menunggu berjam-jam sebelum dapat menjalani saringan Covid-19.

Mereka yang tiba di KLIA dari Tawau pada jam 6.45 petang, selepas membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, turut melalui pengalaman tersebut.

Ini berikutan peraturan yang dikuatkuasakan bermula semalam sehingga 10 Oktober ini, bagi membendung pandemik tersebut memandangkan jumlah kes yang tinggi di negeri bawah bayu itu.

Dr. Adham kemudian mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang turut sama membantu termasuk “frontliners” kesihatan dan keselamatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast