Joniston Bangkuai

KUALA LUMPUR – Mana slogan dipegang Warisan Plus, iaitu “Percaya Kepada Tuhan”, apabila parti itu dikatakan cuba menggunakan taktik kotor memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Bersatu Sabah (PBS) supaya menyertai mereka untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, tindakan Warisan Plus itu seperti tidak percayakan Tuhan kerana tidak boleh menerima hakikat parti itu kalah kepada Gerakan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Beliau meminta Warisan Plus yang diketuai Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal supaya menerima kenyataan bahawa kerajaan negeri yang baharu akan dibentuk oleh parti gabungan GRS.

“Sahabatku Warisan Plus, tolong berpegang kepada slogan ‘Percaya Kepada Tuhan’ yang kamu gunakan sepanjang kempen PRN.

“Selain itu, kamu harus hormati keputusan PRN ke-16 sebagaimana ketentuan Tuhan. Terima kasih,” katanya menerusi Twitternya hari ini.

Sebelum ini, PBS mendakwa Warisan Plus mula menghubungi wakil rakyatnya untuk “membeli” kerusi dengan menawarkan jawatan.

Menurut Joniston, berikutan itu PBS sekali lagi dijadikan sasaran fitnah ketika kemelut pelantikan calon ketua menteri belum diumumkan dengan propaganda politik mula tersebar dan khabar angin pengkhianatan mula bertiup.

Sebelum ini juga, akaun Facebook Sabah Ubah mendakwa, PBS menyertai satu mesyuarat berhubung pembentukan semula kerajaan negeri.

Ia mendakwa, sumber dipercayai mengesahkan dalam mesyuarat itu ADUN dari PBS sudah menemui Shafie dalam merangka kerjasama dan strategi pelaksanaan penubuhan kerajaan baharu Warisan Plus. – MalaysiaGazette