Mohd Asna Amin

KUALA LUMPUR – Parti yang menganggotai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seharusnya memberi laluan kepada UMNO untuk mencalonkan pemimpinnya sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Penganalisis politik, Mohd Asna Amin berkata, ini kerana daripada pecahan kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), parti UMNO yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin lebih banyak.

Beliau yang juga Penasihat Kehormat Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam menjelaskan, dari 38 kerusi yang dimenangi, UMNO mendapat 14 kerusi DUN, diikuti PN termasuk Parti Bersatu dan STAR (17) dan PBS (tujuh).

“Ada kerusi yang dimenangi PN asalnya UMNO yang melompat parti sebelum ini dan mereka bertanding serta menang di kerusi itu.

“Mereka ini terkenal sebagai wakil rakyat dahulu pun adalah dari jasa UMNO dan tidak salah jika mereka memberi peluang kepada UMNO untuk meletakkan calon sebagai Ketua Menteri yang baharu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Selain itu, menurut Mohd Asna, umum juga tahu Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah sebulat suara bersetuju bahawa semua kerusi yang dimenangi oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu akan tetap ditentang oleh UMNO untuk PRU seterusnya.

Namun, katanya, situasi berbeza pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, apabila UMNO telah berlembut hati memberi laluan kepada calon PN dari Parti Bersatu.

Oleh itu, beliau berkata, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat calon yang paling layak untuk diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Beliau telah bertungkus lumus menolong calon BN bagi memastikan mereka menang di kerusi masing-masing pada PRN Sabah Sabtu lalu.

“Kita juga tahu pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti yang paling banyak memenangi kerusi akan diberi keutamaan untuk menjadi calon ketua menteri.

“Ini adalah prinsip demokrasi iaitu kerusi yang terbanyak dalam sesuatu gabungan, mereka akan memiliki suara atau kelebihan untuk menentukan siapa ketua menteri,” katanya.

Beliau berpandangan, sebarang kelewatan dalam memutuskan calon Ketua Menteri Sabah akan memberi peluang kepada Parti Warisan untuk memujuk parti lain bergabung dengannya, sekali gus membentuk kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Serahkan kpd pucuk pimpinan GPS dan Pusat utk berbincang..kita ni tak payah nak sibuk2 tunjuk pandai..salah cakap, wartawan mmg tunggu masa jer nak highlight dan exegerate…mrk ni suka mengapi2kan dgn tajuk besar yg provokasi..cth ada sorang anggota Pemuda UMNO bg statement, wahhh! Wartawan terus tulis tajuk besar2 ni – PEMUDA UMNO tuntut kerusi KM…padahal tu bukan statement Pemuda UMNO pun..tu statement peribadi..tak profesional sungguh wartawan mcm tu…

Comments are closed.