Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 7,389 individu telah ditahan dalam tempoh lima bulan bermula 1 Mei lalu sehingga semalam.

Dari jumlah itu, seramai 6,344 melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati), 750 tekong dan 295 penyeludup.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penahanan mereka itu dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang melibatkan pelanggaran prosedur standard operasi (SOP) dan kesalahan Imigresen.

Sementara itu, sepanjang tempoh semalam juga katanya, polis menahan 82 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP seperti tidak menjaga penjarakan sosial, tidak memakai pelitup muka dan aktiviti di kelab malam yang masih tidak dibenarkan beroperasi.

“Dari siasatan ke atas 82 individu ini, polis telah mengeluarkan kompaun kepada 75 orang, manakala enam lagi direman dan seorang dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jelas beliau, polis menerusi Task Force Pematuhan telah membuat sebanyak 55,086 pemeriksaan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan SOP PKPP.

Selain itu, katanya, pemantauan juga turut dilakukan di 3,533 pasar raya, 4,785 restoran serta 1,375 penjaja, 1,127 kilang, 3,744 bank dan 737 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,065 terminal pengangkutan darat, 194 terminal pengangkutan air serta 151 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Mengenai perkembangan Operasi Benteng, Ismail berkata, pasukan keselamatan berjaya menangkap 29 Pati dan dua penyeludup serta merampas sebuah bot dan empat kenderaan darat yang digunakan untuk kegiatan menyeludup.

Kata beliau, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus.

Berhubung kuarantin wajib, beliau berkata, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 37,133 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Mereka ditempatkan di 67 hotel dan 10 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, 8,671 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 106 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 28,356 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya. – MalaysiaGazette