ALOR SETAR – Dua kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kecil Pengkalan Hulu, Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menerima suapan wang tunai sebanyak RM22,000, tujuh tahun lepas.

Tertuduh, Idris Mohamad, 61, yang merupakan seorang Penghantar Notis dan Mohd Hamdi Raghali, 39, seorang Pembantu Tadbir, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mereka dituduh secara bersama menerima suapan wang tunai RM22,000 daripada Chong Chooi Nam, 63, sebagai upah untuk menyerahkan geran tanah No. H.S.(M):2171 di atas Lot 3063 R.T.P Selarong, Mukim Pengkalan Hulu, Daerah Hulu Perak di Perak atas nama Chong.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Abang Lee Nasi Ayam Payung Besar, Bazar Wakaf Baling di daerah Baling, pada 4.25 petang, 5 Disember 2013.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Idris turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersetuju menerima suapan wang tunai RM22,000 daripada Chong untuk melakukan perkara sama (serah geran) di Hotel Seri Baling Inn, Jalan Bukit Caruk Nau, Kampung Banggol Lada, Baling pada kira-kira 7 malam, 4 Disember 2013.

Bagi pertuduhan itu Idris didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping manakala kedua-dua  tertuduh diwakili peguam Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.

Hakim membenarkan Idris diikat jamin sebanyak RM20,000 manakala Mohd Hamdi sebanyak RM10,000, masing-masing dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan dokumen perjalanan mereka sehingga perbicaraan selesai.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Gerik, Perak juga diarahkan supaya melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 2 November ini. – Bernama