Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Kebijaksanaan dan kematangan seseorang pemimpin muda amat dituntut dalam mendamaikan kekalutan yang berlaku.

Bukan membuat sebarang kenyataan menyindir dan andaian buruk ke atas rakan, sebaliknya kena pandai berpolitik untuk menjaga hati orang yang sedang dalam berdukacita.

Demikian teguran Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor terhadap Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Kata beliau, teguran itu tidak kena pada tempatnya, malah lari dari konteks dan maksud asal apa yang sebenarnya berlaku.

“Sepatutnya Mohd Syahir perlu segera menegur Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selaku rakan ketua anak muda dalam Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

“Dia (Wan Ahmad Fayshal) yang terlebih dahulu mencurah minyak ke atas api yang sedang marak apabila membuat sindiran demi sindiran.

“Pesanlah kepada beliau untuk jaga tutur kata dan bicara, bukan menegur Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Noor Hariri berkata demikian menjawab kenyataan balas Mohd Syahir yang mengingatkan Dr. Asyraf agar tidak mengungkit kemenangan PN di Sabah sehingga melantik Pengerusi Pimpinan Bersatu Sabah sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Katanya, Dr. Asyraf tidak pernah mengungkit sebarang apa perkara antara UMNO dan Pas kerana mereka semua telah bersama dalam Muafakat Nasional (MN).

“Jurang perbezaan dan perselisihan kita yang dahulu telahpun kita buang jauh-jauh. Tidak timbul pun ungkitan oleh UMNO terhadap Pas.

“Bagi saya, tidak perlulah Mohd Syahir membuat telahan sedemikian kepada Dr. Asyraf yang tentunya tiada langsung niat mengaitkan sejarah Pas yang lalu.

“Malah, kami bersyukur kerana genap setahun ulang tahun Piagam Muafakat Nasional yang telah kita semua meterai bersama dengan keihklasan linangan air mata,” katanya.

Beliau yakin pengkaji ekonomi dan ahli politik muda itu lebih arif mengenai perihal politik yang berlaku seminggu dua ini.

“Musuh sedang memerhatikan kita untuk berpecah. Musuh ada di dalam dan juga di luar. Sama-sama kita waspada demi keutuhan Islam, bangsa Melayu dan tanah air kita.

“Rakyat memerhatikan keikhlasan dan kebijaksanaan berpolitik kita semua selaku pemimpin muda dalam UMNO dan Pas sebagai harapan akhir untuk menyelamatkan negara ini daripada agenda sulit DAP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast