Elak makan di tempat kotor.

KUALA LUMPUR – Jika anda pergi ke pekan Selama jangan terkejut jika anda dihurung lalat setiap masa.

Bukan seekor dua malah lalat berada di mana-mana, baik kedai makan, rumah, masjid malah sampai masuk dalam kenderaan yang melalui kawasan di daerah Taiping itu.

Bagi sesiapa yang mengalami ‘serangan lalat’ itu sudah pasti hilang selera makan kerana ia sinonim dengan pembawa penyakit dan kotoran.

Bagi Ahmad Abdul Aziz, keadaan itu menganggu mereka yang ada di kawasan Selama dan ia dipercayai berpunca daripada banyak kawasan penternakan ayam dan haiwan lain bersaiz besar di sekitar kawasan berkenaan.

“Sungguh mengganggu, kotor dan bawa kuman dan penyakit, hendak pula masa masa lalat hinggap kat badan..tak selesa sungguh.

“Kalau pergi restoran jika lambat tutup gelas dengan tangan, lalat dulu ‘minum’ air kita.

“Jadi kerja hendak menepis lalat ini. Merata-rata ada termasuk paling sakit hati bila lalat masuk dalam kereta, anak-anak menjerit menampar lalat, haru-biru dibuatnya,” ujarnya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Beliau yang sering datang ke Selama bagi melawat keluarga ibu mertuanya berkata, keadaan itu sudah lama berlarutan tetapi ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Menurut Ahmad, bukan penduduk tidak melakukan usaha mengatasi masalah itu dengan memasang perangkap lalat dan pelbagai petua lama namun lalat di Selama ‘tak makan saman.’

Justeru Ahmad meminta pihak berkuasa melakukan sesuatu kerana ia melibatkan soal kebersihan dan memalukan kerajaan negeri Perak.

 

“Bukan hendak dakwa kawasan penternakan yang ada itu halal atau haram tapi kalau sudah sampai lalat serang satu pekan Selama mesti ada benda yang tidak kena,” katanya.

Justeru beliau mahu kerajaan negeri dan wakil rakyat di kawasan berkenaan jangan pandang sebelah mata masalah yang dideritai penduduk.

“Pengusaha ternakan juga satu hal, jangan fikir mahu untung sahaja tapi soal kebersihan tidak dipedulikan. Jangan ada kes kematian akibat penyakit baru hendak kecoh,” katanya.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.