KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) menegaskan dalam mengembalikan mandat rakyat, iltizam dan komitmen terhadap perjuangan menegakkan keadilan, membanteras rasuah dan membaiki institusi termasuk badan kehakiman tidak boleh dikompromi.
Dalam kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH (MSPH) kepada media hari ini, mereka menjelaskan, iltizam dan komitmen itu perlu dilakukan walau dalam keadaan apa sekali pun.
“Perkara ini dicapai dalam mesyuarat bulanan MPPH di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam.
“Dalam mesyuarat itu, MPPH turut membincangkan beberapa perkara termasuk keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah serta usaha di peringkat Persekutuan untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya,” katanya.
Menurut MSPH, kepimpinan parti itu turut mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong akan sembuh dari sebarang masalah kesihatan dan kekal di bawah lindungan Ilahi.
Semalam, sekumpulan wartawan yang berkumpul sejak jam 3 petang di ibu pejabat PKR, gagal mendapat sebarang ulasan dari pemimpin PH, yang masing-masing mengambil sikap menutup mulut.
Tindakan mereka itu, menimbulkan tanda tanya mengenai butir mesyuarat yang dibincangkan sehingga tidak ada seorang pun dari pemimpin itu, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu berjumpa dengan media. – MalaysiaGazette
















