Jeffrus Maimin Rijan

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Sabah mengucapkan tahniah kepada Datuk Hajiji Mohd Noor atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ketua Penyelarasnya, Jeffrus Maimin Rijan menyifatkan pemilihan dan pelantikan itu sebagai tepat memandangkan beliau telah mendapat sokongan dan kepercayaan serta dipersetujui sebulat suara oleh Ketua-Ketua Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelas beliau, persetujuan itu dari hasil perbincangan bersama mengenai pemilihan calon Ketua Menteri sebelumnya.

“Hajiji seperti diceritakan dalam profilnya datang dari keluarga yang susah.

“Sebagai seorang yang pernah mengalami dan merasai kehidupan yang susah sebelum ini,  sudah tentu beliau dapat menyelami bagaimana peritnya penderitaan majoriti kaum Bumiputera khususnya di Sabah yang hidup dalam serba serbi kekurangan.

“Dengan itu, Putra Sabah berharap beliau mempunyai kesedaran serta komitmen yang cukup tinggi untuk membantu menaikkan taraf hidup dan ekonomi kaum Bumiputera negeri ini yang sangat jauh ketinggalan berbanding kaum lain seperti Cina dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata beliau, Putra Sabah juga berharap GRS adalah sebuah kerajaan yang berintegriti iaitu bersih dari segala skandal seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.

Jeffrus juga berharap, kerajaan Sabah di bawah teraju Hajiji adalah sebuah kerajaan yang adil dan akan terus berjuang untuk membela nasib rakyat negeri itu tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

Namun, katanya, nasib kaum peribumi hendaklah diberi perhatian khusus termasuk kehilangan tanah adat yang mesti diganti.

“Tumpuan adalah kepada pelaksanaan, kerana dasar-dasar baik selalunya gagal disebabkan ketirisan pelaksanaan seaperti rasuah dan salah guna kuasa.

“Putra Sabah juga berharap kerajaan GRS akan terus memperjuangkan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia tahun 1963 (MA63),” katanya. – MalaysiaGazette