Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas mengucapkan tahniah kepada Datuk Hajiji Mohd Noor atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, Hajiji yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah telah mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.

Katanya, pengalaman menjadi wakil rakyat sejak tahun 1990 dan pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah pada 2018 menjadikan beliau dikenali di Sabah.

“Kepercayaan diberikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada beliau hendaklah dipikul dengan penuh tanggungjawab dalam merealisasikan aku janji GRS, seterusnya memberikan fokus kepada kesejahteraan negeri di bawah bayu itu.

“Kebersamaan semua wakil rakyat Sabah di bawah kepimpinan Hajiji amat penting dalam mentadbir negeri yang kaya dengan adat dan budaya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Hajiji hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Turut mengangkat sumpah di Istana Negeri Sabah ialah tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga ADUN Lamag; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (ADUN Tambunan); dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam (ADUN Kundasang).

Menurut Kamaruzaman, Pas percaya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat dijalinkan demi memastikan agenda pembinaan negara berjaya digerakkan bersama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast