Berikutan tular berita palsu, orang ramai bimbang untuk ke pasar raya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dengan tegas menafikan penularan berita palsu kononnya beberapa pasar raya dan bank di negara ini dikesan merekodkan kes positif Covid-19 yang membimbangkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penularan berita tidak benar oleh pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Saya ingin tegaskan, hanya Kementerian Kesihatan (KKM) yang boleh menentukan kawasan-kawasan awam tersebut mempunyai kes positif Covid-19.

“Begitu juga, penularan beberapa berita palsu mengenai nama individu yang dijangkiti Covid-19.

“KKM tidak pernah menyiarkan nama individu ini kerana ianya tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang mengeluarkan nama individu dijangkiti Covid-19 boleh diambil tindakan undang-undang.

Ismail Sabri Yaakob.

Begitu juga, katanya, dengan arahan kuarantin 14 hari, di mana hanya KKM boleh mengeluarkan surat pengesahan kepada setiap individu sama ada mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif Covid-19 atau yang mempunyai gejala.

“KKM akan memaklumkan mengenai kuarantin 14 hari melalui surat yang akan dihantar kepada mereka yang terlibat.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak terpengaruh dan tidak menjadi penyebar berita palsu ini.

“Sila semak kesahihan berita sebelum sebar. Perlu diingatkan, penyebar juga boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette