Badli Shah Alauddin

KUALA LUMPUR – Cerdik pandai dan ahli akademik institut pengajian tinggi (IPT) mahupun Pusat Kajian Perubatan di negara ini membuat kajian khusus berkenaan keabsahan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat di masjid pada masa ini.

Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Datuk Badli Shah Alauddin berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  18 Mac lalu sehingga kepada fasa pemulihan (PKPP), SOP masjid masih lagi ketat dengan larangan penggunaan kolah, tidak boleh merapatkan saf dan dilarang menggolekkan tabung derma.

Beliau berkata ada seorang imam di Kuantan membuat rayuan itu kepadanya dan beliau sendiri banyak menerima aduan yang sama daripada jemaah masjid lain.

Katanya, ramai jemaah tidak berpuas hati dan membuat andaian kononnya SOP masjid ada pilih kasih berbanding pelaksanaan SOP agak mesra di tempat lain seperti restoran, pasar malam, gelanggang futsal, dalam kapalterbang dan hari penamaan calon.

“Tetapi, apabila masjid (kenapa SOP masih ketat), alasan klise yang digunakan, “kita tidak mahu mewujudkan Kluster Masjid”.

“Kita tidak menentang SOP, tidak (sama sekali), tetapi kita harap suara kita ini sampai kepada cerdik pandai di luar sana terutamanya para akademik di universiti membantu kami membuat kajian mengenai SOP itu dan hasil dapatannya diangkat kepada kerajaan untuk penilaian.

“Kita orang masjid tidak boleh kemukakan alasan dari dengar cakap kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan supaya melonggarkan SOP, sebab pihak berkenaan memerlukan alasan yang kukuh beserta dengan bukti,” katanya menerusi ceramah beliau di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.

Menurut Badli Shah, sebagai orang yang diamanahkan mengurus tadbir masjid, beliau sering kali menerima kecaman dari jemaah kerana masih melaksanakan SOP yang ketat.

Katanya, mereka menuduh pihak masjid sebagai kuda tunggangan Yahudi, ejen dajjal, penyambut Yakjuk Makjuj, ahli iluminati, pengaruh Freemason dan pelbagai istilah lagi dilemparkan hanya kerana masjid tegas dengan SOP.

“Oleh itu, saya merayulah kepada cerdik pandai dan cendekiawan, bantulah kami. Dengan data yang diperoleh dari mereka ini, boleh bantu masjid angkatkannya kepada pihak berkuasa untuk dipertimbangkan.

“Masjid tidak dapat melakukannya secara akademik kerana segala dasar dan polisi tidak boleh dibangunkan menerusi dengar cakap sahaja tapi mesti berpaksikan kepada kebolehterimaan.

“Orang universiti boleh cari dapatan hasil perkaitan antara instrumen kolah masjid, saf tidak boleh rapat, tabung tidak boleh golek dengan risiko jangkitan. Mereka boleh buat kajian ini kerana mereka ada ilmu mengenainya,” katanya. – MalaysiaGazette