Nor Hasimah Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan untuk menyekat import minyak sawit dan produk berkaitan dari sebuah syarikat Malaysia tidak boleh dipandang ringan.

Sebaliknya, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menggesa FGV Holdings Berhad anak syarikat milik penuh Felda, perlu mengambil tindakan secara preventif dan dengan kadar segera berhubung kenyataan serta tindakan AS itu.

Exconya, Nor Hasimah Abu Hassan berkata, UMNO tidak boleh menerima laporan Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan AS (CBP) yang mendakwa FGV telah melakukan tenaga buruh paksa seperti penyeksaan terhadap golongan ditindas, keganasan fizikal dan seksual, melakukan ancaman dan penyimpanan pengenalan diri serta penggunaan buruh paksa kanak-kanak dalam proses pengeluaran minyak sawit syarikat tersebut.

“Ini tidak berasas sama sekali dan AS perlu menarik balik tuduhan itu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, media melaporkan, AS pada Rabu lalu, mengumumkan mengenai sekatan segera terhadap import minyak sawit dan produk berkaitan dari sebuah syarikat Malaysia.

Negara itu mendakwa, siasatan selama setahun CBP mendedahkan berlakunya penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran berkenaan.

Sehubungan itu, CBP dikatakan akan mengeluarkan arahan untuk menahan kemasukan produk sawit dan minyak sawit dari FGV Holding Berhad di pelabuhan mengikut undang-undang persekutuan yang melarang import barangan dihasilkan oleh buruh paksa.

Menurut Nor Hasimah, Kementerian Sumber Manusia perlu memberikan kenyataan rasmi beserta laporan dari Jabatan Tenaga Kerja dan menjemput wakil dari AS hadir untuk memberikan penjelasan serta bukti atas tuduhan tidak berasas itu.

Tegas beliau, sekiranya gagal, maka AS perlu menarik balik kenyataan dan larangan import tersebut.

“Dakwaan ini bukan sahaja menjatuhkan reputasi dan saham milik syarikat, malah secara tidak langsung bakal memberikan implikasi kepada hampir 120,000 peneroka Felda di seluruh negara serta gambaran tidak tepat terhadap imej Malaysia berhubung isu tenaga buruh paksa,” ujarnya. – MalaysiaGazette