Noraini wanita
Rosni Sohar

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Malaysia menyeru mahasiswa dan rakyat terus menyokong segala usaha yang dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membendung gejala pandemik Covid-19.

Penolong Setiausahanya, Datuk Rosni Sohar berkata, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, seharusnya bersiap sedia dari segi mental dan fizikal dalam menongkah segala halangan mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang mencabar ini.

Katanya, beliau sedar ramai mahasiswa dan ibu bapa marah serta kecewa dengan keputusan saat akhir KPT untuk menangguhkan sesi kemasukan ke kampus mulai Oktober 2020.

“Namun, dalam keadaan negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19, malah dengan gelombang ketiga ini, memaksa sesuatu keputusan dibuat menitikberatkan keutamaan kesihatan dan keselamatan pelajar, sekali gus melibatkan ibu bapa juga,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rosni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam berkata, meskipun ia adalah keputusan yang berat, namun dengan meletakkan keutamaan keselamatan mahasiswa, maka langkah drastik perlu diambil.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian pelajar terkandas di universiti masing-masing berikutan sesi pendaftaran kemasukan mereka ditangguhkan akibat penularan Covid-19.

Berikutan pengumuman yang dianggap oleh ibu bapa sebagai lewat, kerana mereka dan anak-anak sudah tiba di institut pengajian tinggi (IPT), ramai di kalangannya diarah berpatah balik kerana sesi pengajian ditangguhkan.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan ibu bapa kerana mereka tidak diberitahu awal mengenai perkara itu dan banyak wang sudah dibelanjakan termasuk membeli tiket pengangkutan darat dan udara untuk pulang semula ke kampung. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.