Diogo Dalot.

LONDON – Pemain bek kanan Manchester United, Diogo Dalot sah menyertai kelab Itali, AC Milan secara pinjaman sehingga penghujung musim ini.

Namun tiada sebarang klausa pembelian tetap untuk pemain Portugal berusia 21 tahun itu.

Dalot terpaksa bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan terutamanya sejak ketibaan Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace pada Jun 2019.

Dia menyertai United dari Porto pada Jun 2018 dengan yuran perpindahan sebanyak £19 juta sewaktu Jose Mourinho menjadi pengurus sekali gus menjadikan dia antara pemain remaja termahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

“Kami di United mengucapkan semoga berjaya buat Dalot untuk tempoh pinjamannya di Itali,” ujar United dalam kenyataan di laman web rasminya.

Setakat ini Dalot telah membuat 35 penampilan dalam semua pertandingan termasuk ketika membantu United meraih kemenangan 3-0 ke atas Brighton dalam saingan Piala Carabao pada Rabu lalu.

Sebelum ini, pemain tengah Andreas Pereira juga telah melengkapkan perpindahannya ke kelab Serie A Lazio secara pinjaman selama semusim.

Seorang lagi pemain yang sedang diburu kelab Itali adalah Chris Smalling yang masih mununggu untuk melengkapkan perpindahan secara tetap ke AS Roma.

Selain itu, Romelu Lukaku, Alexis Sanchez dan Ashley Young juga telah berhijrah Inter Milan sementara Matteo Darmian pula telah menyertai Parma pada musim lalu. – MalaysiaGazette