Christina Liew

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Christina Liew akan mengambil tindakan undang-undang ke atas blogger Raja Petra Kamaruddin kerana mendakwa memfitnahnya.

Ahli Parlimen Tawau itu kesal dengan artikel disiarkan blogger berkenaan di laman web Malaysia-Today semalam bertajuk, “PKR mahu umat Islam menolak al-Quran”.

Beliau yang mengecam tulisan itu menyifatkan Raja Petra Kamaruddin sengaja memutarbelitkan pernyataannya mengenai penyertaan Pas dalam kabinet Sabah.

“Saya mengecam tuduhan ini. Saya telah mengarahkan pasukan undang-undang saya untuk mengkaji perkara ini dan mempertimbangkan untuk meneruskan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Christina Liew dalam kenyataannya semalam dilaporkan berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menentang sepenuhnya cadangan untuk melantik seorang wakil dari Pas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Ketua PKR Sabah itu berkata, Pas pada masa kini adalah rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) dan cadangan memberikan laluan kepada wakil parti itu sebagai ADUN dilantik tidak dapat diterima oleh rakyat Sabah, memandangkan masyarakat negeri itu terdiri dari pelbagai lapisan komuniti, agama dan budaya yang sentiasa harmoni bersama.

Christina Liew yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri berkata, kenyataan asal beliau merujuk kepada Pas sebagai entiti politik yang tidak akan diterima oleh rakyat Sabah.

Katanya, tidak ada dalam kenyataannya menyebut PKR Sabah mahu orang Islam menolak sama ada al-Quran mahupun Islam itu sendiri.

“Tuduhan yang dibuat oleh Raja Petra sangat menjijikkan dan menipu, bertujuan untuk memfitnah saya selaku seorang wakil rakyat dan Pengerusi PKR Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sebagai sebuah parti didalam sistem demokrasi negara, PAS berhak untuk bersama2 sekutunya didalam kerajaan Sabah. Mereka secara lansung atau tidak lansung telah menyumbangkan kemenangan kepada kerajaan Sabah hari ini.

    Kepada RPK, teruskan menulis kerana idea2 anda telah menyumbangkan banyak kebaikan2 kepada negara. Tulisan2 anda juga telah banyak membantu phak SPRM dalam mengheret mereka2 yang melakukan rasuah kemuka pengadilan!

    Tahniah RPK!

Comments are closed.