Foto hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 13 Oktober ini untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak dalam kenyataannya berkata, mesyuarat khas itu akan diadakan jam 10 pagi bertempat di ibu pejabat Menara SPR, Putrajaya.

“Mesyuarat Khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ikmalrudin, dalam mesyuarat khas yang bersidang itu, pihaknya akan membincangkan tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” tegasnya.

SPR bermesyuarat bagi menentukan PRK di Parlimen Batu Sapi selepas penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober lalu.

Rentetan itu, kerusi itu diisytiharkan kosong sebelum Yang diPertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menggunakan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan dan mengarahkan SPR untuk mengisi kekosongan dalam tempoh 60 hari menerusi satu pilihan raya.

Sehubungan dengan itu, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Datuk Azhar Azizan Harun hari ini berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Speaker Dewan Rakyat arah SPR isi kekosongan kerusi Batu Sapi

1 Komen

Comments are closed.