Warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang baru pulang dari luar negara wajib melakukan saringan gejala dan pengambilan sampel Covid-19.-Gambar hiasan.

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan peningkatan harian kes koronavirus global sebanyak 338,779 dalam tempoh 24 jam yang disebabkan oleh lonjakan jangkitan di Eropah.

Eropah melaporkan 96,996 kes baharu, jumlah tertinggi wilayah yang pernah dicatatkan oleh WHO.

Kematian global meningkat sebanyak 5,514 kepada 1.05 juta.

Rekod kes baharu WHO sebelum ini adalah 330,340 pada 2 Oktober.

WHO juga melaporkan sebanyak 12,393 kes kematian pada 17 April.

Eropah kini melaporkan lebih banyak kes berbanding India, Brazil atau Amerika Syarikat.

India melaporkan 78, 524 kes baru, diikuti oleh Brazil sebanyak 41, 906 dan Amerika Syarikat dengan 38, 904 jangkitan baharu, menurut WHO.

Data WHO adalah ketinggalan sehari berbanding laporan harian setiap negara.

Analisis Reuters pula mendapati, kes jangkitan Covid-19 meningkat di 54 buah negara termasuk di Argentina, Kanada dan sebahagian besar Eropah.

Jangkitan di United Kingdom telah mencapai tahap tertinggi dengan lebih dari 17,000 kes baharu dilaporkan pada hari Khamis.

Manakala Perancis kekal di atas 18,000 kes untuk hari kedua pada hari Khamis dengan langkah-langkah baharu untuk mengekang wabak sedang dijangkakan.

Purata jumlah jangkitan baharu yang dilaporkan di Belgium meningkat selama tujuh hari berturut-turut dan Jerman melaporkan peningkatan harian terbesar sejak April pada hari Khamis.

Walaupun India masih mendahului dunia dalam kes baharu harian, namun kes jangkitan baharu turun 20 peratus berbanding semasa kemuncak.

Di Amerika Syarikat, yang mempunyai jumlah kes dan kematian terbesar di dunia, jangkitan baharu meningkat dengan pesakit Covid-19 yang paling banyak dirawat di hospital sejak awal September. – MalaysiaGazette