Polis Sepanyol mengadakan kawalan di laluan keluar masuk selepas negara ini melaksanakan sekatan pergerakan bagi menangani penularan Covid-19. foto Reuters

MADRID – Madrid mesti menguatkuasakan sekatan perjalanan yang diperintahkan oleh Kementerian Kesihatan untuk membendung wabak koronavirus atau kerajaan persekutuan akan melaksanakan darurat untuk memastikan langkah-langkah pencegahan dipatuhi, kata kerajaan.

Dalam ketegangan terbaharu antara kedua-dua pentadbiran, kerajaan memaklumkan akan mengadakan mesyuarat Kabinet luar biasa pada pagi Jumaat untuk memutuskan keadaan darurat jika Madrid tidak mengenakan sekatan atau meminta campur tangan.

Pihak berkuasa Madrid enggan mematuhi larangan perjalanan yang tidak penting masuk dan keluar dari bandar dan sembilan bandar sekitarnya pada hari Jumaat yang lalu seperti yang diperintahkan oleh Kementerian Kesihatan.

Sepanyol adalah antara salah satu kawasan panas Covid-19 di Eropah.

Ketegangan itu tercetus selepas mahkamah wilayah di Madrid membatalkan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan dengan alasan kerajaan telah melampaui mandatnya.

Malah, sekatan tersebut didakwa mengganggu hak asasi manusia.

Sedangkan Madrid merekodkan 741 kes koronavirus per 100,000 orang dalam dua minggu hingga 7 Oktober, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, menjadikannya kluster Covid-19 terpadat kedua di Eropah setelah Andorra.

Mengisytiharkan keadaan darurat – kerangka undang-undang sama yang menyokong sekatan pergerakan Sepanyol semasa gelombang pertama virus – akan memberi kuasa kerajaan persekutuan untuk menyekat pergerakan.

Menurut kenyataan kerajaan, Perdana Menteri Sosialis, Pedro Sanchez memaklumkan kepada pemimpin wilayah konservatif Madrid, Isabel Diaz Ayuso bahawa beliau mesti melaksanakan sekatan itu atau meminta keadaan darurat atau pemerintah pusat akan memaksakannya melaksanakan salah satu.

Ayuso berkata ,pegawai wilayah akan membincangkan alternatif pada pagi Jumaat.

“Kami berharap dapat menyetujui penyelesaian yang menguntungkan warga negara dan memberikan kejelasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Santiago Abascal, pemimpin parti kanan Vox, mengatakan dia akan mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara pada hari Isnin sekiranya keadaan darurat baru diluluskan.

“Orang Sepanyol tidak akan membiarkan diri mereka dipenjarakan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette