Pasangan suami isteri selepas mengaku tidak bersalah dalam 39 pertuduhan menawarkan pakej pelancong tidak wujud dan tanpa lesen di Mahkamah Majistret Shah Alam, Shah Alam, Selangor. foto ISKANDAR HAMIDI, 09 OKTOBER 2020.

SHAH ALAM – Pasangan suami isteri muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas 39 pertuduhan penipuan tawaran pakej pelancongan penginapan mewah yang tidak wujud dan tanpa lesen sah industri pelancongan.

Tertuduh Muhammad Iqbal Mohd. Sani, 27, dan isterinya, Intan Nurulhaleda Mohd Yunus, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mereka dituduh secara bersama terlibat menipu 20 mangsa dengan pakej pelancongan penginapan mewah yang tidak wujud pada harga serendah RM88 antara 24 Jun hingga 30 Ogos 2020 dengan mangsa mengalami kerugian mencecah RM10,454.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Iqbal yang memegang jawatan Pengurus Syarikat Agensi Pelancongan, I&I Paradise Venture Sdn.Bhd. bersama isterinya didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berlainan di Subang, Hospital Sungai Buloh, Markas Pemerintahan Bantuan Udara, Pengkalan Tentera Udara Subang, Kampung Paya Jaras Hilir, Desa Subang Permai, Seksyen 6 dan Seksyen 31 Shah Alam.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Muhammad Iqbal bersama isterinya yang hamil tiga bulan dihadapkan ke mahkamah dalam keadaan tangan bergari.

Ibu bapa kedua-dua tertuduh hadir ke mahkamah manakala bapa Muhammad Iqbal menjadi penjamin untuk mereka.

Pasangan muda berkenaan juga didakwa menawarkan pakej pelancongan tanpa lesen sah industri pelancongan terhadap kesemua mangsa sama di lokasi yang sama di bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(3) akta yang sama.

Pasangan suami isteri selepas mengaku tidak bersalah dalam 39 pertuduhan menawarkan pakej pelancong tidak wujud dan tanpa lesen di Mahkamah Majistret Shah Alam, Shah Alam, Selangor. foto ISKANDAR HAMIDI, 09 OKTOBER 2020.

Jika disabitkan kesalahannya mereka boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, denda tidak melebihi RM50,000 dan denda sehingga RM5,000 bagi setiap kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd. Munir dan tertuduh diwakili peguambelanya Azi Azlin Zulkifli.

Muhammad Uzair menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 untuk kes penipuan dan RM10,000 untuk pertuduhan pakej pelancongan tanpa lesen industri pelancongan untuk setiap pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun peguambelanya dalam hujahnya menyatakan tertuduh sudah berkahwin dan isterinya disahkan hamil tiga bulan.

Setelah mendengar hujah jedua-dua pihak, Mohamad Redza memetapkan jaminan sebanyak RM1,000 untuk setiap pertuduhan untuk kedua-dua tertuduh dengan seornag penjamin dan menetapkan 16 November sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette

Pasangan muda ditangkap tipu pakej pelancongan hotel mewah