Dadah jenis ketamine yang diletakkan di dalam kotak-kotak bijirin sarapan bernilai RM1.7 juta pada sidang media rampasan dadah di Kompleks Kastam Kargo, KLIA, Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2020

SEPANG – Tindakan licik sindiket dadah antarabangsa yang mengedarkan serbuk ketamin yang dibungkus dalam kotak bijirin berjenama berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Kegiatan itu dipercayai didalangi oleh dua suspek dari Pakistan yang mengimport ketamin dari negara asal mereka untuk pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, bagi mengaburi mata pihak berkuasa, kedua-dua suspek membawa masuk bekalan dadah itu menerusi kargo udara.

Bagaimanapun, katanya, cawangan Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit III (KLIA) dengan kerjasama narkotik Kastam berjaya mengesan dan menahan kedua-dua suspek sekitar jam 2.05 petang pada 8 Oktober lalu di sebuah tempat komersil Ampang ketika sedang berlegar di kaki lima sambil membawa dadah.

“Mereka menggunakan modus operandi membalut serbuk ketamin itu dengan pembalut lutsinar aluminium dan dimasukkan dalam kotak bijirin sarapan berjenama bagi mengelak dikesan dalam mesin pengimbas di stesen kargo udara.

“Bagaimanapun selepas barang terlarang itu berjaya melalui pelepasan tanpa atas maklumat awam serta risikan teliti  kita dapat menumpaskan sindiket ini.

“Jumlah rampasan dadah adalah seberat 30.68 kilogram bernilai RM1.7 juta disyaki untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media kejayaan berkenaan di Kompleks Kastam Kargo di sini tengahari tadi.

Dadah jenis ketamine yang dibungkus dan dimasukkan dalam kotak bijirin berjenama.

Menurutnya, untuk mengelak kegiatan terlarang mereka dihidu pihak berkuasa, ketamin berkenaan diletakkan bersama dengan kotak yang mengandungi produk bijirin sarapan sebenar.

“Hasil pemeriksaan mendapati 35 kotak bijirin sarapan seberat 500 gram mengandungi dadah seberat 700 gram manakala 18 lagi kotak pula diisi bijirin sarapan yang betul seberat 500 gram dan disusun bersama dalam dua kotak besar dan diisytiharkan sebagai barang makanan untuk pelepasan.

“Kedua-dua suspek berusia 30-an dan 40-an manakala salah seorangnya tidak memiliki pasport perjalanan sah dan kita sedang menyiasat rekod perjalanan mereka dan tempoh penetapan mereka di negara ini.

“Namun kami juga tidak menolak kemungkinan penglibatan orang tempatan dalam sindiket pengedaran dadah ini,” ujar beliau.

Berdasarkan pemerhatian, Kastam tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek sudah lama terlibat dalam kegiatan jenayah itu di negara ini memandangkan mereka begitu biasa dengan persekitaran di kawasan Ampang.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir bercakap pada sidang media rampasan dadah di Kompleks Kastam Kargo, KLIA, Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2020

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari di Majistret Ampang dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Sejak Januari lalu, sebanyak 150 kes tangkapan dadah dilaksanakan Kastam membabitkan nilai RM5.067 juta dan tiga orang dituduh termasuk dua suspek kes terbaharu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Kastam menyeru orang awam untuk memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lai lain barangan seperti rokok, minuman keras dan mercun.

Mereka boleh menghubungi talian bebas tol Kastam 1800 88 8855 atau pejabat Kastam yang terdekat di setiap negeri.

“Kami memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” tegasnya.-MalaysiaGazette