Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai pilihan lain, kecuali menunaikan tuntutan yang dibuat UMNO dengan mengadakan perjanjian kerjasama politik secara bertulis dengan segera.

Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Jeneri Amir, Muhyiddin berhadapan dengan risiko kehilangan jawatan sebagai Perdana Menteri dalam masa yang sama PN akan tumbang jika Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu enggan berkompromi dengan UMNO.

Jelas beliau, suara parti itu perlu didengar kerana memiliki kerusi Parlimen terbanyak dalam PN.

“Pilihan terbaik sekarang adalah untuk Perdana Menteri mengkaji dan menilai tuntutan UMNO. Bukan sahaja untuk menyelamatkan kedudukannya, juga untuk memastikan PN terus bertahan.

“Untuk melangkah ke hadapan Muhyiddin tidak punya pilihan kecuali mendengar rintihan dan tuntuan. Kalau tidak berlaku, risikonya hilang kuasa bukan senang nak dapat kuasa adakah semudah itu nak hilangkan kuasa orang.

“Orang yang ada kuasa sepatutnya bukan sahaja tidak mahu hilang kuasa tetapi perkukuhkan lagi kuasa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, UMNO menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Parti itu juga bakal mengenakan syarat baharu iaitu memastikan kerjasama politik dengan PN dibuat secara bertulis.

Selain itu, Jeneri yakin bahawa UMNO bertindak sedemikian demi memastikan parti itu tidak dipandang rendah dalam PN.

Beliau juga tidak menolak UMNO kini merasakan tidak dilayan sebagai parti yang dominan dalam PN.

“Mungkin ini salah satu stratgei untuk mensejajarkan semula UMNO supaya tidak dipandang rendah, ringan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana mungkin sekarang UMNO rasa mereka tidak dilayan sebagai parti yang mempunyai kerusi lebih banyak dalam PN.

“Strategi ini adalah untuk memberi tekanan kepada Muhyiddin, menilai semula kedudukan sedia ada, memastikan UMNO diberikan tepat sejajarnya, yang dominan dalam PN.

“Saya fikir strategi ini disengajakan apatah lagi dalam kedudukan sekarang, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi Pakatan Harapan) mendakwa mempunyai sokongan mencukupi di kalangan Ahli Parlimen,” ujar penganalisis politik itu.-MalaysiaGazette