Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank Islamic hari ini memperkenalkan Deposit Impak Sosial pertama di Malaysia, suatu kempen di bawah Akaun Simpanan Berjangka (IFD-i).

Pelanggan ditawarkan untuk membuat deposit tetap dan pada masa yang sama, menyokong pemberian bantuan kewangan kepada mereka yang pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam inisiatif sosial ini dengan membuat deposit minimum sebanyak RM1,000 ke dalam IFD-i selama enam bulan.

Ketika pelanggan menerima pulangan yang setanding dengan kadar semasa papan deposit tetap, Maybank Islamic secara berasingan akan menyumbang 0.3% (p.a) setahun ke akaun khas iaitu Akaun Bantuan Impak Sosial untuk setiap deposit yang dibuat dalam tempoh kempen ini berlangsung.

Akaun khas ini disediakan untuk memberi sokongan kepada pelanggan Maybank Islamic yang akan dikenal pasti oleh bank yang memerlukan bantuan kewangan kerana kehilangan pendapatan atau pekerjaan akibat pandemik tersebut.

Mohamed Rafique Merican

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican dalam satu kenyataan berkata, inisiatif ini sejajar dengan usaha Kumpulan Maybank bagi membantu pelanggannya yang terkesan oleh penularan pandemik Covid-19 yang sedang berlaku.

Tempoh tawaran Deposit Impak Sosial ini bermula pada 15 Oktober hingga 31 Disember 2020 dan pelanggan boleh membuat penempatan deposit mereka melalui Maybank2u atau di mana-mana cawangan Maybank serta Maybank Islamic di seluruh negara.

Inisiatif ini merupakan salah satu daripada inisiatif Kumpulan Maybank yang diperkenalkan untuk menyokong masyarakat dalam mengharungi tempoh sukar ini

Antara inisiatif lain termasuklah Dana Pandemik Covid-19 MERCY Malaysia, pengumpulan dana melalui platform atas talian MaybankHeart yang memberikan sokongan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) demi membantu komuniti berisiko di Malaysia dan Maybank Women Eco-Weavers yang menghasilkan pelitup muka yang lebih lestari dengan harga berpatutan untuk kegunaan komuniti setempat. – MalaysiaGazette