KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Sabtu ini akan diadakan secara dalam talian bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Ahli MT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, mesyuarat yang diadakan di Menara Dato’ Onn itu dijangka membincangkan beberapa isu berbangkit selain hal semasa politik.
Kenyataan itu menjawab desas-desus yang mengatakan MT UMNO akan bermesyuarat petang ini.
Beberapa media juga turut melaporkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selesai mengadakan rundingan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mesyuarat itu juga dikatakan akan membincangkan pendirian Biro Politik UMNO yang sebulat suara mengesyorkan parti itu mengkaji semula kedudukannya dalam PN.
Sementara itu, dalam mesyuarat Biro Politik yang dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusinya kelmarin, dilaporkan UMNO mahu mengemukakan syarat baru untuk meneruskan kerjasama dan sokongan parti itu kepada kepemimpinan Muhyiddin.
Ahmad Zahid sebelum ini mengaku ramai Ahli Parlimen UMNO menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baru dan menghormati keputusan itu serta tidak dapat menghalangnya. – MalaysiaGazette
















