roslan
Roslan Shahir Mohd Shahir

KUALA LUMPUR – Pas dan UMNO tidak boleh bersengketa berpanjangan kerana akan merugikan ummah dan yang mendapat untung politik ialah parti yang menerjang arus, kata Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Katanya, kedua-dua parti hanya boleh mencipta kemenangan dan memberi jaminan masa depan yang cerah kepada rakyat sekiranya mereka mengukuhkan muafakat dengan menyisihkan sebarang bentuk percakaran serta persengketaan.

Ujar beliau, selepas pembentukan Muafakat Nasional (MN) setahun lalu, dengan takdir Allah pada 24 Febuari 2020, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan dan sekali gus kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertahan 22 bulan, tumbang.

“Dari situ semua bergerak pantas dan akhirnya MN, selain Parti Bersatu serta pimpinan parti lain khasnya dari Borneo berjaya membentuk kerajaan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional (PN).

“Kerajaan yang didukung bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan disertai MN ini telah menyelamat dan memperjuangkan nasib rakyat serta masa depan ummah dari cengkaman PH.

“Kita lihat PH, terutama DAP yang begitu gusar dengan perkembangan ini dan pemerkasaan hubungan Pas, UMNO bakal meranapkan apa sahaja peluang untuk mereka kembali berkuasa di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Roslan Shahir, sokongan Melayu terhadap PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak lagi boleh diyakini apabila umat Melayu sepakat berdiri di belakang MN.

Namun, katanya, kelemahan kerajaan PN adalah mentadbir dengan majoriti yang cukup tipis dan mengharapkan dapat kekal sehingga ke hujung penggal PRU-14.

Bagaimanapun, tegasnya, jika ada di kalangan Ahli Parlimen PN berpaling tadah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka kerajaan PN boleh tumbang sebagaimana berlaku di Johor, Melaka, Perak dan Kedah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Dengar kata2 Roslan Shahir Mohd Shahir ni wahai pemimpin2 PAS & UMNO, insyaAllah akan ada kekuatan disana! Bekerjalah sebagai satu pasukan. Sejarah telah membuktikannya.

    Nanti boleh sama2 melaksanakan dasar2 yang baik2 untuk rakyat!

  2. Pas Dan umno harus fikir jangkamasa panjang,, untuk pru yg akan datang… Tinggalkan dulu untuk Masa ini. Biar ppbm selesaikan masalah dia org

Comments are closed.