KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menafikan pengerusinya, Aminolhuda Hassan mengeluarkan kenyataan untuk bersama UMNO dalam membentuk kerajaan di negeri itu.
Beliau mendakwa, kenyataan dilaporkan media itu tidak benar sama sekali dan hanya menyatakan, pembentukan kerajaan boleh dibuat dengan mengadakan kerjasama dengan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara individu.
“Saya menyanggah kenyataan tersebut kerana apa yang didakwa itu tidak benar kerana ketika wartawan tersebut bertanya, saya telah menyatakan pembentukan kerajaan boleh dibuat dengan mengadakan kerjasama dengan mana-mana ADUN secara individu yang bersetuju menerima konsep PH Plus bukan bersama parti secara en bloc seperti didakwa.
“Saya ulangi pendirian seperti sebelum ini, pembentukan tersebut dilakukan atas dasar keinginan ADUN yang mahu membentuk kerajaan secara stabil bukan dalam keadaan seperti sekarang ini, di mana kerajaan di Johor terbentuk berdasarkan majoriti yang terlalu tipis,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Semalam, PH Johor dikatakan bersedia menjalin hubungan dengan UMNO bagi mewujudkan kerajaan negeri sekiranya parti itu memutuskan untuk menarik diri dari Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, Aminolhuda yang juga Pengerusi PH Johor itu dilaporkan berkata, UMNO perlu menjadi gentleman dalam membuat keputusan dengan tidak melakukan ugutan politik di saat negara berhadapan dengan wabak Covid-19.
Menurut ADUN Parit Yaani itu, kestabilan politik akan dapat memberangsangkan ekonomi negeri terutama dalam suasana Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia dan membantu rakyat dari segi peluang pekerjaan.
Sehubungan itu, katanya, ‘pembukaan pintu’ untuk mana-mana ADUN menyokong PH Johor amat dialu-alukan tanpa ada sebarang permintaan berkepentingan peribadi dalam usaha mengekalkan mandat rakyat yang diberikan sewaktu PRU-14 yang lalu.
“Saya juga berharap kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar semalam tidak disalah ertikan dengan menyatakan PH Johor mempelawa UMNO untuk bersama,” katanya. – MalaysiaGazette
















