Khalid Abdul Samad polygamy
Khalid Abd. Samad

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengulangi pendiriannya untuk memberi mandat penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan perbincangan dengan semua pihak bagi membentuk kerajaan termasuk ahli Parlimen UMNO.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd. Samad berkata, hakikatnya, tiada kerjasama yang ‘tiada masalah’ kerana ia antara entiti yang bersendirian dan berbeza, lebih lagi apabila melibatkan kerjasama dengan ahli Parlimen UMNO.

Oleh itu, kata beliau, rundingan perlu untuk memungkinkan ianya berlaku dan syarat pasti akan dibincang dan ditetapkan bila tiba masanya.

Mengenai pendirian DAP pula, Khalid menjelaskan, seperti juga Amanah, parti itu akan memerlukan perbincangan dan perundingan berhubung syarat kerjasama dengan ahli-ahli Parlimen UMNO yang ingin menyokong Presiden PKR itu.

“Dalam laporan sebuah media semalam, ada melaporkan saya sebagai menyebut, (DAP) tiada masalah. Laporan itu mengambil kata-kata saya di luar kontek perbincangan, di mana pada dasarnya temu bual itu berhubung pendirian Amanah bukan DAP.

“Tidak wajar kata-kata saya dipetik sebagai mewakili pendirian DAP sedangkan saya merupakan Pengarah Komunikasi Amanah, bukan DAP. Seingat saya, selepas itu saya turut menambah tetapi, perlu tanya DAP.

“Terpulang kepada DAP sama ada mereka bersedia untuk bekerjasma dengan Ahli Parlimen UMNO atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam menjelaskan pendirian Amanah, Khalid menyatakan kerjasama dengan Ahli Parlimen UMNO adalah mungkin tetapi sepertimana dengan semua persoalan kerjasama, ia semestinya bergantung kepada syarat yang bakal diperhalusi.

Beliau memetik kata-kata pujangga, politics is the art of the possible bererti politik adalah seni memungkinkan sesuatu berlaku.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast