Video muzik rasmi Siapa Tak Mahu kini boleh ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Penyanyi kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaluza mencipta sejarah tersendiri buat dirinya apabila muzik video (VM) terbaharu berjudul Siapa Tak Mahu mencapai 300,000 tontonan dalam tempoh 13 jam dilancarkan di laman Youtube semalam

Malah, video tersebut mendapat komen yang sangat positif apabila lebih 5,000 komen pendengar yang mengatakan betapa menariknya idea dan jalan cerita muzik video itu.

Siti sebelum ini menerima Anugerah Emas setelah album fizikal ManifestaSITI2020 berjaya mencapai jualan sebanyak 5,000 unit dan video muzik rasmi Siapa Tak Mahu itu adalah ciptaan Omar K, John Jeevasingham dan Ikhwan Fatanna.

Ia merupakan lagu keenam daripada album ManifestaSITI2020’ yang diberikan pendamping visual selepas  muzik video Anta Permana, Kasihku Selamanya, Terang, 7 Nasihat dan Aku Bidadari Syurgamu.

Pengarahnya, Ghazi Maslan memberi garapan visual secara sinematik sesuai dengan mesej nasihat bersahaja yang cuba disampaikan.

Lebih istimewa, video muzik ini juga menampilkan pelakon Mira Filzah dan Hun Haqeem sebagai penggerak cerita.

Bertepatan dengan maksud di sebalik lirik lagu itu, video tersebut menceritakan bagaimana sesebuah hubungan itu akan berjalan lancar sekiranya setiap pasangan mengambil sikap untuk menghargai dan berbuat baik.

Siti Nurhaliza juga mengenakan beberapa persalinan busana mengikut karakter.

Setiap hubungan pasti ada pasang surut tetapi sikap untuk berubah dan berusaha memperbaiki diri akan menyemarakkan lagi kasih sayang.

Mesej yang paling jelas di dalam lagu ni adalah jika mahukan pasangan yang baik kita juga perlu menunjukkan sikap yang sama. Begitulah beberapa unsur nasihat yang cuba disampaikan di dalam lagu ini

Pelancaran video muzik ini juga bertujuan untuk meneruskan promosi album ManifestaSITI2020 selepas Siti mengambil keputusan untuk berehat seketika.

Mengulas tentang video muzik terbaharunya ini, wanita berusia 41 tahun itu berkata, penampilan di dalam video muzik ini agak berbeza kerana dia menjadi spy atau perisik serta memerhatikan gerak geri pasangan sedang bercinta lakonan Mira Filzah dan Hun Haqeem.

“Saya juga mengenakan beberapa persalinan busana mengikut karakter. Video muzik tersebut juga diharap dapat meneruskan lagi promosi lagu Siapa Tak Mahu yang dipilih menjadi single seterusnya selepas lagu Aku Bidadari Syurgamu.

“Saya berharap lagu dan video muzik Siapa Tak Mahu akan sama-sama mendapat tempat di hati para peminat dan ini merupakan di antara perancangan yang saya lakukan sebelum berehat supaya karya saya tetap berjalan’’, ujarnya.

Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions(M) Sdn.Bhd. selaku penerbit telah memberi kepercayaan kepada  syarikat produksi, Zeel Production untuk menghasilkan video muzik Siapa Tak Mahu.

Video muzik itu boleh ditonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza manakala album ManifestaSITI2020 boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak Julai lalu. – MalaysiaGazette

Video muzik Siapa Tak Mahu menampilkan pelakon Mira Filzah dan Hun Haqeem sebagai penggerak cerita.