Anggota Bomba bersiap sedia untuk melakukan operasi sanitasi di sekitar pasar susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa hari ini sehingga 27 Oktober depan bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 15 OKTOBER 2020.
BAGAI aur dengan tebing, begitulah hakikat keakraban hubungan antara pihak kerajaan
dengan rakyat jelata di Malaysia dalam membendung penularan wabak COVID-19.
Muafakat ini telah membentuk kemenjadian yang terbaik sehingga negara mendapat
pujian dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkaitan usaha memerangi pandemik
berkenaan.
Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura iaitu Dr Ying-Ru Jacqueline
Lo telah memandang tinggi usaha Malaysia melalui Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketika membuat kunjungan hormat keatas Menteri Kesihatan, beliau melahirkan
penghormatannya kepada seluruh kepimpinan dan petugas KKM.
Katanya, Malaysia mempunyai kemampuan yang kuat dalam kesiapsiagaan dan respons
wabak, serta infrastruktur dan tenaga kerja yang terlatih untuk menyediakan
perawatan kesihatan berkualiti tinggi. Ini telah membantu mewujudkan asas yang stabil
untuk tindak balas wabak terhadap Covid-19 setakat ini.
Apabila berlaku pandemik dan keadaan separa darurat, Malaysia berjaya meningkatkan
khidmat kesihatan dengan pantas melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis
(CPRC) Kebangsaan yang menjadi ‘jantung negara’ dalam melawan Covid-19 .
Kerajaan Malaysia juga buat pertama kalinya dengan pantas meluluskan pertambahan
perjawatan khusus kepada kumpulan perkhidmatan kesihatan, dengan harapan tidak
berlaku ‘break down’ ke atas operasi kita melawan wabak maut berkenaan.
WHO juga melalui wakilnya turut memuji bagaimana Kerajaan Malaysia
memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berkesan
membendung penularan wabak ini.
Malah, cadangan utama WHO untuk "menguji, merawat dan mengesan" populasi virus tersebut, ternyata Malaysia menerapkan strategi lebih baik dari itu melalui "Cari, Uji, Isolasi, Rawat dan Kuarantin" untuk melandaikan lengkuk graf kes-kes dalam kalangan komuniti.
WHO menyokong kita
Atas siri kejayaan semua pihak (rakyat dan Kerajaan) di negara ini, maka Pejabat
Perwakilan WHO untuk Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura berminat
bekerjasama dengan KKM dan rakan-rakan strategik untuk memberikan sokongan
kritikal dalam bidang koordinasi rakan kongsi, maklumat dan perancangan, kepakaran
teknikal, sokongan operasi dan logistik. Sebagai contoh, WHO membekalkan kit ujian
awal sebelum tersedia secara komersial dan menyediakan protokol ujian untuk
diagnosis pada bulan Mac 2020 lalu.
Lebih-lebih lagi, Malaysia juga dijemput untuk menyertai kajian rawatan solidariti
WHO, dan menjadi negara pertama di Asia yang memberi sepenuh komitmen terhadap
usaha itu.
Pejabat negara WHO juga telah mengupayakan pelbagai platform strategik untuk semua
kegiatan yang berkaitan dengan respons Covid-19 , meliputi perolehan, pengawasan
dan pemantauan, epidemologi dan pengumpulan, pemprosesan dan analisis data, untuk
memberikan informasi berdasarkan bukti dan nasihat pakar.
‘Way Forward”
Pendekatan KKM yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Adham Baba pada saat ini adalah
mendidik semua pihak tidak kira darjat untuk terus mengamalkan norma baharu dan
mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.
WHO dan KKM punya pandangan sama yakni kewaspadaan dan pencegahan yang
berterusan adalah satu-satunya cara untuk menghentikan penularan virus sehingga
vaksin yang selamat dan berkesan tersedia.
Langkah-langkah ini telah berjaya membendung dan membatasi penyebaran Covid-19 ,
terutama ketika wabak ini makin mengorbankan ramai nyawa. WHO memuji akan
langkah Kerajaan Malaysia (KKM) yang lebih mementingkan keselamatan nyawa
komuniti berbanding pendekatan lain ketika musim pandemik berlaku.
Bak kata wakil WHO, Malaysia harus terus memperkuat sistem pengawasan untuk
mengesan kewujudan dan peredaran Covid-19 di sekitar komuniti, serta penyakit
berjangkit lain, seperti virus polio dan influenza. Pun begitu, bagi WHO, rakyat dan
kerajaan di Malaysia sedang melakukan sesuatu yang amat bagus dan tepat pada
maasanya.
Sebagai pengakhiran, WHO memang sejak sekian lama memuji sistem khidmat
kesihatan negara, termasuk keberkesanan klinik kesihatan di seluruh pelusuk negara
yang menjadi frontliners mencegah pelbagai jenis penyakit berjangkit dan penyakit
tidak berjangkit (NCD).
DR. MUHAMMAD KELANTANI
Pakar dari Kementerian Kesihatan Malaysia