Asyraf Wajdi Dusuki
Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengajak semua politikus melakukan gencatan politik dengan memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan rakyat.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, senario semasa dengan ancaman pandemik Covid-19 yang serius kebelakangan ini benar-benar meresahkan rakyat.

Kata beliau, rakyat semakin susah, ekonomi negara menguncup, pengangguran makin memuncak dan ramai hilang punca pendapatan sehingga ada yang jatuh papa kedana akibat peningkatan kes Covid-19.

“Sudah tiba masanya, ahli-ahli politik tidak kira mewakili parti mana sekalipun melakukan gencatan politik untuk memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan rakyat.

“Ramai yang saya temui menyatakan kebimbangan dengan fenomena unik yang tidak pernah dialami ini, yang begitu mencabar dan mengancam kesejahteraan sejagat.

“Mungkin inilah saat terbaik untuk kita sama-sama meletakkan perbezaan yang ada ke tepi, demi memberikan penumpuan kepada Agenda Perdamaian Nasional,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurutnya, Agenda Perdamaian Nasional yang dimaksudkan itu bukan bermakna mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.

Sebaliknya, memberikan keutamaan kepada parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan yang tajam dalam soal perebutan kuasa.

“Segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya yang ada digemblengkan bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat yang dihimpit segala keperitan lantaran kesan Covid-19 yang kian mencengkam.

“Agenda Perdamaian Nasional juga manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti siasah untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar perebutan takhta, tetapi benar-benar untuk membantu rakyat.

“Perlu ada political will, political commitment dan political sincererity yang jitu untuk menjayakan agenda ini secara bersama,” katanya.

Jangan nanti, kata Asyraf, mereka dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast