ARKIB: Orang ramai turut berkumpul untuk mengetahui perkembangan terkini mesyuarat tergempar pemimpin di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 23 FEBRUARI 2020.

BAB PERTAMA – Antara realiti dan fantasi

Semasa aku remaja, sering kedengaran ungkapan-ungkapan bersemangat yang keluar dari mulut pemimpin yang sering diselitkan dalam ucapan-ucapan mereka. Antara yang terkesan adalah ungkapan… “demi bangsa, agama dan negara”.

Rakyat yang hadir bertepuk tangan penuh semangat mendengarnya. Mereka terbuai perasaan megah dan bangga kerana “pemimpin berjiwa rakyat” telah melahirkan sesuatu harapan kepada mereka.

Itulah sandaran rakyat kepada pemimpin, yang berlandaskan ungkapan-ungkapan penuh semangat yang menjanjikan sesuatu yang indah untuk hari tua mereka.

Hari berganti, masa beredar. Rakyat yang dulunya muda remaja, sekarang sudah bongkok tiga. Malah, sudah ramai kembali ke rahmatullah. Namun, ungkapan-ungkapan sedemikian masih dilaungkan oleh pemimpin berkenaan, khususnya bila berucap di khalayak ramai sewaktu kempen pilihan raya.

Aku nilai setiap patah ucapan semangat tersebut. Bila aku bandingkan dengan kehidupan rakyat yang bongkok tiga dengan pemimpin berkenaan – memang ada banyak perubahan.

Si bongkok tiga hidupnya masih ditakuk lama. Pagi-pagi ke kebun, bila petang ke ladang huma dan sekali sekala menjala ikan di sungai buat menanggung anak cucu agar tidak kelaparan.

Dengan harga pasaran yang terus meningkat serta harga komoditi yang naiknya sedikit, tetapi yang turunnya berlipat ganda, jika dihitung dapatlah dalam lingkungan RM500 sebulan.

Ini tidak termasuk sumbangan dari anak-anak yang terpaksa berkelana di kota raya mencari rezeki dengan majikan rakyat Malayzia yang berbangsa tionghua.

Berbanding dengan pemimpin yang dimaksudkan, jika dahulu bermotor kapchai, berumah sewa di pinggir bandar, sekarang sudah bertukar wajah – kereta mewah empat biji bercermin gelap, banglo di tengah kampung sekadar menjadi rumah persinggahan waktu balik “menziarahi rakyat”, yang mana lebih banyak dihuni oleh orang-orang gajinya.

Walaupun begitu, ia masih dalam “pengubahsuaian” yang entah bila akan siap. Dengar khabarnya, beliau mempunyai dua lagi banglo di kota raya, selain apartmen-apartmen mewah.

Almaklumlah – sudah tiga penggal sebagai Ahli Parlimen.

Namun, rakyat yang sudah tua itu tetap bersyukur dengan rezeki Allah SWT. Tidak secalit pun ada perasaan iri hati terhadap kesenangan hidup pemimpinnya itu.

Minda penyokong terutama di luar bandar sangat mudah dipengaruhi pemimpin, atas dasar kepentingan bangsa dan agama, pemimpin sewenang-wenangnya menghembur ayat-ayat yang boleh “mempermainkan” jiwa dan naluri mereka.

Namun, pada hakikatnya ia sekadar mainan kata-kata yang terlalu jauh menyimpang maksudnya.

Tetapi, di dada akhbar dan di media sosial telah menampakkan bahawa pemimpin berkenaan adalah di antara senarai siasatan pihak berkuasa.

Hebat perjuangannya – demi bangsa, agama dan negara. Hati mula bertanya… betulkah?

Itu adalah fantasi aku, diharap jauh dari realitinya.

BAB KEDUA – Antara fantasi dan realiti

Setelah tumbangnya BN di PRU yang lepas, fikiran rakyat bercampur baur – bercelaru. Mula-mula di bawah PH, kemudian selepas “Sheraton Move”.

Tetapi hakikatnya, rakyat masih hidup seperti biasa saja. Menjalani hidup harian – mencari rezeki, beramal dan sebagainya. Terasa tiada bezanya. Pendapatannya masih dalam lingkungan RM500 sebulan.

Kecuali, kalau dulu tidak perlu berlitup muka, sekarang nak bernafas pun sukar. Namun, rakyat tetap akur bagi memenuhi tanggungjawab untuk sama-sama menghindar Covid-19 dari bermaharajalela.

Namun, yang hairannya terdapat pemimpin-pemimpin yang meniupkan angin perkhabaran bahawa “langit akan runtuh” jika pemerintah sekarang terus diberi kepercayaan untuk menerajui negara.

Aku cuba juga cari penyebabnya yang mereka asyik berlandaskan “hasrat akar umbi” – yang aku faham, rakyatlah yang mahukan kepimpinan yang ada sekarang perlu “ditukar ganti”.

Hairan, bila pula mereka mengumpulkan rakyat untuk mendapat keputusan demikian, sedangkan batang hidung mereka sudah lama tidak kelihatan di lapangan.

Melalui desas desus dan carian yang aku jumpa di laman-laman sosial, ia berkisar kepada ketidakpuasan terhadap pembahagian “Kuasa dan Jawatan” – mana mungkin parti yang teramai diberi jawatan yang “berkuasa rendah” terjah mereka.

Manakala yang lain-lainnya adalah isu-isu remeh yang sengaja diperbesarkan. Ini termasuklah masalah pemilihan ketua kampung di Perak, pemimpin yang diberi tanggungjawab mewakili kerajaan untuk bercakap mengenai Covid-19 di Sabah dan yang agak ada sedikit relevennya adalah isu “pertembungan” semasa di PRN Sabah baru-baru ini.

Apa pun tiada isu-isu pokok mengenai kehidupan rakyat jelata yang menjadi penyebab keperluan penukaran pucuk pimpinan.

Logiknya isu-isu himpitan kehidupan oleh Covid-19 sebagaimana dihadapi sekarang yang harus diberi tumpuan – pemberhentian kerja, kekurangan punca dan nilai pendapatan, ekonomi merudum dan sebagainya untuk dijadikan isu utama bagi menumbangkan kerajaan jika mereka gagal untuk mengatasinya.

Atau setidak-tidaknya kerana mereka gagal membendung gelombang kedua serangan Covid-19 akibat merebut kuasa di PRN Sabah baru-baru ini, walaupun setiap hari tanpa gagal, ingatan dan panduan telah diberi oleh Menteri Kanan Keselamatan dan KP Kesihatan.

Seolah-olahnya jika mereka dari Semenanjung tidak berduyun-duyun ke Negeri Di Bawah Bayu, PRN Sabah tidak dapat dilaksanakan.

Terdengar juga bisik-bisik nakal di kedai-kedai kopi – pemimpin yang menghadapi masalah, siapa yang nak ambil tahu. Kerajaan sekarang?

Fikir aku – ini barulah realitinya, bukan lagi fantasi.

BAB KETIGA – penutup hikayat

Kini aku mula memahami ungkapan yang bertentangan dengan “demi bangsa, agama dan negara” – mungkin di situlah aku temui jawapannya. – MalaysiaGazette

Nordin Ahmad

Penulis, Nordin Ahmad adalah pemerhati politik tanah air.

1 Komen

  1. Tahniah tuan. Setuju dengan penulisan tuan. Walau ada pembaca di MG yang suka klasifikasikan komen aku sebagai pro itu dan ini, sebenarnya aku PRO kepada apa yang aku sebagai rakyat hendak. Selagi rakyat beroleh kebaikan, selagi itu kerajaan semasa akan aku sokong. Berbanding sesetengah pembaca MG yang komen atas rasa maruah politik dan ketaksuban kepada pemimpin yang mereka agung-agungkan. Kita rakyat perlu letak diri kita umpama tebu. habis ja madu lepas kita buang undi, silap silap kita jadi sepah yang dibuang ja. so, jangan taksub kepada mana-mana ahli politik or parti. Sekadar pendapat aku.

Comments are closed.