Sebahagian penduduk mengambil bekalan air yang disediakan Air Selangor selepas penduduk sekitar mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Khidmat Setempat PJS 1/25, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 13 peratus, iaitu 162 dari 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual, telah mula menerima bekalan air sehingga jam 9 pagi ini.

Baki 1,130 kawasan lagi melibatkan di wilayah yang terjejas, masih dalam proses pemulihan, kata Air Selangor menerusi kenyataan kepada media, pagi ini.

Menurut kenyataan itu, pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar terutama di kawasan yang belum menerima bekalan air.

Dalam pada itu, Air Selangor terus menggerakkan 121 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terjejas.

“Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan untuk kemudahan ketika tempoh pemulihan bekalan air,” kata kenyataan itu.

Orang ramai boleh merujuk senarai pili awam dan PKS di laman sesawang www.airselangor.com.

Bekalan air di kawasan Lembah Klang terganggu sejak awal pagi kelmarin berikutan berlaku pencemaran di Sungai Selangor melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang. – MalaysiaGazette