Gambar hiasan
MELBOURNE – Harga minyak merosot untuk hari keempat berturut-turut berikutan kebimbangan lonjakan semula kes koronavirus di seluruh dunia, sekali gus menjejaskan pemulihan permintaan bahan bakar.
Selain itu, pengeluaran minyak dari Libya terus meningkat, menambah penawaran di pasaran.
Niaga hadapan minyak mentah Brent turun AS$0.30 atau 0.7% kepada AS$ 42.32 setong pada 0149 GMT, setelah jatuh  AS$0.31 pada hari Isnin.
Manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut AS$0.26 atau 0.6% kepada AS$40.57 setong, selepas turun AS$0.0 5 sen pada Isnin.
Jumlah kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 40 juta, susulan gelombang kedua melanda Eropah dan Amerika Utara hingga mendorong pelaksanaan sekatan pergerakan.
”Sejak bulan April, kita telah melihat pemulihan permintaan minyak yang luar biasa – yang kini berada di sekitar 92% dari tahap pra-pandemik, tetapi terlalu awal untuk menyatakan berakhirnya era berakhirnya permintaan minyak disebabkan Covid-19,” kata penganalisis, Louise Dickson dari Rystad Energy.
Mesyuarat pada hari Isnin panel Menteri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya (dikenali OPEC+)  memberi jaminan untuk terus menyokong pasaran minyak ketika kebimbangan meningkat terhadap jangkitan koronavirus yang melambung tinggi.
Buat masa ini OPEC + menepati perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 7.7 juta tong sehari hingga bulan Disember dan kepada 5.8 juta setong sehari mulai bulan Januari.
Tiga sumber dari negara pengeluar mengatakan kenaikan pengeluaran yang dirancang mulai Januari akan ditangguhkan jika perlu.
”Kami tidak menyangka pasaran minyak berada dalam posisi untuk menyerap sekitar 2% daripada bekalan global yang OPEC + dijangka bermula semula mulai 1 Januari 2021,” kata penganalisis komoditi Commonwealth Bank, Vivek Dhar dalam nota penyelidikannya.
Menurutnya, peningkatan pengeluaran dari Libya, yang beroperasi di luar pakatan OPEC +, bakal menambah kebimbangan lebihan bekalan.
Libya meningkatkan pengeluaran dengan pantas setelah konflik bersenjata menutup hampir semua keluaran negara itu pada bulan Januari.
Hasil dari medan minyak terbesarnya, Sharara, yang dibuka kembali pada 11 Oktober, kini mencapai sekitar 150,000 tong sehari atau sekitar setengah kapasitinya, kata dua sumber industri kepada Reuters. – MalaysiaGazette