Bomba memadam api yang menjilat restoran lama di Jalan Bukit Petaling, di sini, pagi tadi. Gambar ihsan: JBPM

KUALA LUMPUR – Sebuah restoran terbiar musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Bukit Petaling pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan menerusi talian kecemasan MERS 999 berhubung kejadian daripada orang awam pukul 10.25 pagi.

Katanya, sejurus menerima panggilan itu sepasukan anggota dari beberapa balai berhampiran digegaskan ke lokasi kejadian dengan kekuatan seramai 45 orang anggota.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian pada pukul 10.31 pagi, kebakaran melibatkan sebuah Restoran Tupai-Tupai yang tidak beroperasi dan telah lama dikosongkan.

“Kebakaran melibatkan keseluruhan bangunan yang berkeluasan 70×50 kaki persegi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kemusnahan kebakaran dianggarkan hampir seratus peratus dan tiada mangsa yang terlibat.

Sehingga kini, pasukan pasukan Forensik JBPM masih berada di lokasi bagi mencari punca kebakaran yang masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette