Kamarudin Sidek

KUALA LUMPUR – UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mencari formula terbaik untuk berdamai dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi serta kepartian.

Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, sifat berjiwa besar sangat diperlukan bagi tujuan itu.

Ditambah dengan konflik politik kamikaze atau politik persepsi imej negatif yang dicetuskan oleh Anwar apabila mendakwa kononnya mendapat majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baharu, tidak dinafikan bahawa gerakan yang dibuat oleh Presiden PKR itu telah memberi kesan kepada hubungan antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pas, katanya.

“Perkembangan ini agak membimbangkan dengan yang paling ketara berlaku serang-menyerang antara pemimpin UMNO dan Bersatu yang dilihat boleh memberi kesan buruk kepada imej parti kerajaan yang sedang memerintah.

“Dalam berhadapan dengan situasi ini Pas memainkan peranan untuk mengajak semua parti-parti Melayu untuk bersatu dan berdamai serta menstabilkan keadaan bagi menghadapi krisis lebih besar iaitu Covid-19.

“Pas juga telah menyatakan pendirian tegas untuk tidak terbabit dengan konfrontasi antara UMNO dan Bersatu dan akan lebih memainkan peranan sebagai ejen pendamai.

“Jika perlu, mungkin juga wajar untuk mana-mana pihak memainkan peranan penting menjadi orang tengah atau pendamai antara semua parti berteraskan Melayu Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kamarudin berpendapat, perlu ada perbincangan lebih awal di antara BN dan PN bagi mengelakkan timbul kemelut dan konflik dalaman parti.

Dalam masa terdekat kata beliau, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO dan Presiden Bersatu untuk mencari jalan pendamaian.

Justeru katanya lagi, semua parti Melayu wajar berjiwa besar demi menyatukan ummah agar negara tidak terlepas sekali lagi ke tangan ‘musuh-musuh Islam’ yang sentiasa mencari jalan menjarah aset dan harta umat Islam serta menggadai keharmonian kaum yang telah dipupuk sejak sekian lama.

“Pada dasarnya PAS dan UMNO bersetuju dan mengharapkan supaya Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) tetapi MoU secara rasmi tertangguh disebabkan Covid-19.

“MN adalah kerjasama politik, bukan entiti rasmi. Ia bertujuan antara lain menyelaras supaya tiada pertandingan antara BN, Bersatu dan Pas di semua kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRU-15 akan datang mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

“MN ini juga menjadi pentas UMNO, Bersatu dan Pas memperjuangkan isu-isu yang membabitkan kepentingan masyarakat Bumiputera dan agama Islam.

“Ia bukan bermaksud UMNO mesti mengikut ideologi Pas atau Pas mesti menurut fahaman UMNO. Ada perkara kita boleh bersetuju, ada perkara kita boleh berbeza pendapat,” ujarnya.

Selain itu katanya, Pas, Bersatu dan UMNO akan terus berunding penentuan kerusi pada pilihan raya umum (PRU).

“Ia bergantung kepada pucuk pimpinan semua parti untuk berunding dan mendapat permuafakatan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette