Tertuduh, Norazam Abdul Hameed, 52, (kanan) yang merupakan seorang bekas pengurus besar kanan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) hadir ke mahkamah atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM10,000 untuk pelantikan sebuah syarikat juruaudit kepada FGV Palm Industries Sdn. Bhd ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 21 OKTOBER 2020.

SHAH ALAM – Seorang bekas pengurus besar kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM10,000 untuk pelantikan sebuah syarikat juruaudit kepada FGV Palm Industries Sdn Bhd, tahun lalu.

Norazam Abdul Hameed, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, Norazam didakwa dengan niat meminta suapan bernilai RM10,000 daripada Mohd Rizal Md Kassim untuk pelantikan Syarikat MLA Sustainable Solution kepada FGV Palm Industries Sdn Bhd sebagai juruaudit bagi pensijilan International Sustainable Carbon Certification (ISCC) untuk lapan kilang sawit.

Antara lapan kilang sawit itu ialah Kilang Keratong 9, Kilang Palong Timur, Kilang Maokil, Kilang Bukit Sagu, Kilang Lepar Hilir, Kilang Serting Hilir, Kilang Lepar Utara 06 dan Kilang Serting.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 10.45 pagi hingga 11.05 pagi di Taman Prima Saujana Kajang pada 2 Mac 2019.

Norazam didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya SPRM, Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan, sebulan sekali.

Bagaimanapun Hakim Rihaida membenarkan ikat jamin dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat, sebulan sekali.

Selain itu, pihak pendakwaan turut meminta mahkamah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Jenayah 9 di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kerana tertuduh mempunyai kes sama di mahkamah tersebut.

Hakim Rihaida membenarkan permohonan memindah kes tersebut ke Kuala Lumpur dan sebutan kes ditetapkan pada 20 November ini.

Semalam, Norazam juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000 untuk mengesyorkan pelantikan Syarikat MLA Sustainable Solution untuk membuat kerja-kerja pengauditan bagi pensijilan International Sustainable Carbon Certification (ISCC) untuk lapan kilang sawit milik FGV Palm Industries Sdn Bhd.

Norazam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Hisyam Mad Nen.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 3.45 petang hingga 3.55 petang di pejabat SPRM, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2019.

Hakim Mohd Hisyam membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Dimaklumkan, Norazam juga akan didakwa berkaitan kesalahan sama, di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, esok. – MalaysiaGazette