Seorang petugas hospital membawa kotak khas yang berisi sampel cecair saringan orang awam untuk diuji bagi mengesan kes positif Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menafikan dakwaan bahawa 11 kakitangan Hospital Melaka dijangkiti Covid-19, sebaliknya hanya lapan orang kakitangan yang telah disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Menurut Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM), tidak ada wad di hospital tersebut yang ditutup setakat ini.

“JKN Melaka menjelaskan bahawa hanya lapan orang anggota kakitangan Hospital Melaka positif Covid-19 dan sedang menerima rawatan di hospital tersebut dan menegaskan tiada wad ditutup setakat ini

“JKN Melaka memberi jaminan bahawa perkhidmatan di Hospital Melaka tidak terjejas dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan JKN Melaka menasihati orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berhubung Covid-19 di negeri Melaka untuk menghubungi CPRS, JKN Melaka,”katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Semalam, tular di aplikasi WhatsApp mendakwa wujud kluster dalam kalangan kakitangan, jururawat, doktor di Hospital Melaka.

Sebuah wad dikatakan ditutup untuk dijadikan wad kuarantin kakitangan yang positif Covid-19.

Turut tular dakwaan hampir 30 petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka dijangkiti wabak berkenaan.-MalaysiaGazette