SEREMBAN – Dua sekolah di Negeri Sembilan masing-masing di Seremban dan Port Dickson diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Okt susulan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan warganya serta kontak rapat pesakit.

Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) Senawang dalam kenyataan di laman Facebook rasmi sekolah hari ini memaklumkan seramai 33 pelajarnya didapati positif Covid-19.

“Ujian saringan telah dilakukan terhadap semua warga kerja dan pelajar berikutan terdapat seorang pelajar positif Covid-19. Pihak pengurusan sekolah telah mengambil tindakan pantas dengan melakukan kuarantin kendiri dengan tidak membenarkan semua warga dan pelajar keluar daripada kawasan sekolah.

“Selain itu, pengurusan juga tidak membenarkan sesiapa untuk masuk ke kawasan sekolah sebaik sahaja mengetahui ada pelajar yang positif Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa semua 33 pelajar tersebut telah dibawa oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dikuarantin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Zaidi Ramli ketika dihubungi mengesahkan telah mengeluarkan surat kepada guru besar Sekolah Agama Rakyat (SAR) An-Nur, Springhill, Port Dickson, untuk penutupan operasi persekolahan.

Ini berikutan terdapat seorang petugas di sekolah itu yang didapati merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Mohd Zaidi berkata berikutan perkembangan itu, semua guru diarahkan bekerja dari rumah dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses murid sepanjang penutupan sekolah.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan sebanyak 38 kes baharu Covid-19 dengan 37 daripadanya di Seremban dan satu di Rembau, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,157 kes. – MalaysiaGazette