PETALING JAYA – Seramai 60 anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dikerahkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 untuk penduduk sekitar di pangsapuri Pelangi Damansara sejak semalam.

Prosedur itu dibuat selepas  penemuan 23 kes positif di blok B pangsapuri berkenaan sehingga menyebabkan saringan segera dilakukan di zon merah bermula sejak pagi semalam dan hanya tamat lewat petang tadi.

Setakat semalam sahaja, seramai 760 orang telah melakukan ujian saringan bergejala Covid-19 di blok berkenaan kemudian bersambung hari ini di blok lain.

Tinjauan MalaysiaGazette di situ sejak pagi tadi sehinggalah lewat petang ini menunjukkan penduduk sekitar blok B, D, E dan F telah dikenalpasti untuk proses saringan berkenaan.

Rata-rata penduduk diminta beratur mengikut slot yang bermula awal pagi sekitar 6.30 pagi sehingga 10 pagi, kemudian bersambung sebelah petang sehingga malam sekitar 9.30 malam.

Bagaimanapun pihak berwajib enggan mendedahkan sebarang berhubung saringan hari ini dijangka dapat memberikan angka tepat dalam masa terdekat.

Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kecoh sejak kelmarin tentang adanya warga blok pangsapuri itu didapati positif namun hanya kemudian diketahui ada 23 kes semalam.

O

Para petugas KKM didapati menemui penduduk pangsapuri dari rumah ke rumah untuk memberi notis serta pemahamaan tentang saringan tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulah sebelum ini berkata, Selangor mencatatkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak sejak 28 September lalu dan ia bermula setelah kemasukan dan kepulangan pengunjung dari Sabah.

Sementara itu, kes baharu di negara ini pula merekodkan angka melebihi 800 kes selama enam hari berturut-turut dengan 847 kes hari ini dengan Selangor mencatat 132 kes. -MalaysiaGazette