Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew (tengah) bersama Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Klang Selatan, Deputi Superintendan Lim Chee Wah (dua kiri) menunjukan barang rampasan dan foto suspek pada sidang media berhubung kes penipuan menang peraduan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto ISKANDAR HAMIDI, 22 OKTOBER 2020.

SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya mematahkan kegiatan penipuan menang peraduan di beberapa pasar raya di negeri ini dengan tertangkapnya seorang lelaki di Pelabuhan Klang pada 17 Oktober lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, suspek, seorang lelaki Cina berusia 41 tahun ditangkap kira-kira jam 2 petang atas maklumat orang ramai.

Katanya, polis menerima sebanyak 46 laporan berhubung kegiatan penipuan menang peraduan itu dari mangsa melibatkan tujuh Balai Polis Daerah (IPD) di Selangor dari Ogos sehingga lelaki itu ditangkap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew bercakap kepada wartawan pada sidang media berhubung kes penipuan menang peraduan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto ISKANDAR HAMIDI, 22 OKTOBER 2020.

Laporan dibuat mangsa di IPD Ampang Jaya, Klang Selatan, Klang Utara, Petaling Jaya, Serdang, Shah Alam dan Subang Jaya, dengan keseluruhan kerugian direkodkan berjumlah RM456,542.

“Kita namakan kes ini, tipu menang peraduan. Modus operasi suspek ialah pasar raya sekitar Selangor dan mangsanya warga emas berusia 65 hingga 75 tahun.

“Suspek mendekati mangsa biasanya sekitar jam 10 pagi hingga 1 tengah hari dengan memberitahu mangsa memenangi hadiah kereta dan meminta mangsa menyerahkan lesen, kad kredit atau debit ATM untuk tujuan pendaftaran.

“Selepas suspek mendapat semua yang diperlukan itu termasuk nombor pin, suspek terus menghilangkan diri atau ada mangsa dibawanya ke suatu tempat dan ditinggalkan di situ bersama kad kredit, kad ATM dan lesen untuk tujuan pengeluaran wang mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung penipuan menang peraduan di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor  hari ini.

Menurut Muhammad Yazid, hasil siasatan ke atas suspek, polis mendapati lelaki terbabit yang pernah dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan membunuh pada tahun 2008 melakukan perbuatan itu sekitar awal Ogos lalu.

Katanya, suspek yang turut mempunyai rekod jenayah atas kesalahan menceroboh menjalankan kegiatan penipuan dengan menawarkan hadiah yang tidak wujud di beberapa pasar raya.

“Lelaki ini menyasarkan golongan warga emas dengan menyamar sebagai pengarah urusan dari pasar raya berkenaan dan menyatakan kepada mangsa bahawa mangsa telah memenangi peraduan berupa hadiah sebuah kereta pelbagai jenis.

“Kita percaya kegiatan ini didalangi seorang suspek yang sama. Siasatan telah dijalankan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama dalam tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda,” katanya.

Beliau berkata, ketika tangkapan dilakukan, polis merampas sebanyak 115 keping kad perniagaan tertera pelbagai nama terutama atas nama Desmond Lee dengan jawatan penuh sebagai “pengarah urusan” pasar raya tempat beliau menipu mangsa.

Antara barang-barang yang dirampas pada sidang media berhubung kes penipuan menang peraduan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto ISKANDAR HAMIDI, 22 OKTOBER 2020.

“Kita juga menjumpai enam keping lesen memandu milik enam mangsa, dua helai baju kemeja dan sehelai seluar dipercayai dipakai suspek sebagaimana rakaman CCTV, 32 keping kad ATM dan 10 keping kad kredit pelbagai bank dipercayai milik mangsa.

“Suspek kini ditahan bawah Sekyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 23 Oktober ini untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Muhammad Yazid menasihatkan orang ramai terutama di Selangor untuk tidak terpedaya dengan hadiah yang ditawarkan oleh pihak yang tidak diketahui.

Orang ramai juga katanya, perlu membuat semakan terlebih dahulu dengan pengurusan pasar raya berkenaan sekiranya didatangi lelaki yang menawarkan pelbagai jenis hadiah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast