Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan pesta pendidikan pelabur tahunannya yang utama iaitu InvestSmart® Fest 2020, bermula 23 hingga 25 Oktober 2020.

Ia merupakan acara tahunan InvestSmart® Fest kali ketujuh dan buat kali diadakan secara maya.

Tahun ini InvestSmart® Fest bertemakan “Silap Labur Duit Lebur” yang juga diadakan untuk menyokong Bulan Literasi Kewangan 2020 yang pertama anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).

InvestSmart® Fest bertujuan untuk melengkapkan para pelabur dengan asas-asas untuk membuat keputusan pelaburan yang mantap mengetengahkan lebih 35 pempamer maya yang terdiri daripada pengantara pasaran modal, persatuan, pengawal selia dan pengendali pendanaan ramai berasaskan ekuiti, pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan pasaran aset digital. Bursa Malaysia Berhad, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia merupakan rakan kongsi acara SC InvestSmart® Fest tahun ini.

Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, InvestSmart® Fest merupakan peluang bagi rakyat Malaysia untuk mempelajari kaedah mencapai kesejahteraan kewangan, di samping meningkatkan kesedaran mereka mengenai skim penipuan yang meningkat.

Walaupun merancang awal untuk persaraan penting untuk mencapai kesejahteraan kewangan seseorang, tinjauan SC menunjukkan bahawa rakyat Malaysia cenderung untuk memulakan rancangan persaraan hanya pada peringkat akhir kehidupan mereka iaitu sekitar 44 tahun ke atas.

SC menambah bahawa penting bagi semua rakyat Malaysia untuk belajar mengurus kewangan dan mula menabung dan melabur Sawal, walaupun hanya dalam jumlah yang kecil, untuk mengendalikan kewangan mereka.

Dengan meningkatnya skim-skim penipuan, SC telah mempergiatkan kempen kesedaran pencegahan penipuan sejak tahun lalu.

Sehingga akhir September tahun ini, SC telah menerima 370 pertanyaan dan aduan mengenai skim pelaburan tidak sah berbanding 317 pada sepanjang tahun lalu.

Syed Zaid Albar menegaskan SC baru-baru ini telah menubuhkan pasukan petugas dalaman untuk memberi tumpuan kepada penyiasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu di sebalik skim penipuan ini dan menggesa orang
ramai untuk tampil memberikan sebarang maklumat untuk membantu SC memerangi skim penipuan ini.

SC menggesa para pelabur agar berhati-hati sebelum melabur dalam mana-mana skim yang dipromosikan di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp Messenger.

Pelabur hendaklah menggunakan pelbagai saluran yang disediakan oleh SC, seperti Senarai Berhati-Hati (Alert List) SC, untuk mengesahkan kesahihan skim pelaburan dan status individu yang mempromosinya.

Pelabur juga boleh menghubungi SC di talian +603 6204 8999 atau e-mel: [email protected] jika mereka telah dipelawa untuk melabur dalam skim yang menjanjikan pulangan yang indah khabar dari rupa.

InvestSmart® Fest 2020 menampilkan barisan pakar-pakar industri yang ternama untuk berkongsi pandangan mengenai peluang pelaburan, pengurusan kewangan, perancangan persaraan, cara digitalisasi mempengaruhi keputusan pelaburan, di samping mengingatkan orang ramai agar terus berwaspada ketika melabur.

Setakat ini, acara tahun ini telah berjaya menarik lebih daripada 5,000 peserta. – MalaysiaGazette