Seorang pelayan kedai sedang mengemas di sebuah bar di Paris yang kosong tanpa pengunjung selepas Perancis mengenakan sekatan pergerakan di bandar itu pada bulan Oktober tahun 2020. foto AP

NEW YORK – Sepanyol dan Perancis masing-masing melepasi 1 juta kes koronavirus minggu ini manakala Eropah masih giat memerangi wabak berkenaan.

Sepanyol melepasi 1 juta kes yang disahkan pada hari Rabu dan bertambah kepada 1,005,295 kes pada hari Khamis malam, menurut data dari Universiti Johns Hopkins.

Beberapa jam kemudian, Perancis pula mengesahkan kes wabak itu melepasi 1 juta kepada 1,000,369.

Sepanyol dan Perancis kini menjadi negara keenam dan ketujuh yang merekodkan kes Covid-19 melepasi 1 juta selepas Amerika Syarikat (AS), India, Brazil, Rusia dan Argentina dan melaporkan lebih 34,000 kes kematian.

Eropah sedang bertungkus-lumus memerangi peningkatan jumlah kes Covid-19 susulan banyak negara Kesatuan Eropah melaksanakan sekatan pergeraka yang ketat.

Minggu lalu, Eropah melaporkan lebih daripada 977,000 kes baharu – jumlah kes satu minggu tertinggi, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Jumlah kes Covid-19 di Perancis melebihi angka 1 juta seminggu selepas Presiden Emmanuel Macron mengenakan perintah berkurung selama sebulan di Paris dan bandar-bandar lain.

Macron mengisytiharkan darurat nasional.

Manakala Kerajaan Sepanyol pula melaksanakan darurat selama 15 hari di Madrid awal bulan ini. – MalaysiaGazette