LUAS kesan tumpahan minyak diesel dalam Tasik Putrajaya disebabkan kebocoran skid tank paip saluran bawah tanah Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

SHAH ALAM – Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan dua insiden pencemaran sumber air di Sungai Kundang dan tumpahan minyak diesel dalam Tasik Putrajaya semalam, menyelamatkan dari henti tugas Loji Pembersihan Air (LPA) bagi negeri Selangor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, LUAS menerima dua aduan berhubung insiden itu semalam, dan terus bertindak mengawal segera pencemaran itu dari merebak.

Kata beliau, dua pencemaran itu yang diketegorikan sebagai Kod Kuning, berpotensi menyebabkan henti tugas LPA Selangor.

“Aduan pertama mengenai pencemaran bau sehingga 10 ton dikesan di Sungai Kundang pada jam 10.45 pagi semalam, ketika pemantauan secara 24 jam dalam Ops Statik Sungai Gong, Rawang dilakukan.

“Siasatan awal LUAS mendapati, pencemaran bau yang dikesan itu adalah daripada bahan biodiesel dan mencatatkan keputusan melebihi 10 ton pada aliran yang dilaporkan di kawasan yang disyaki di kawasan Industri Kundang Jaya.

Pekerja LUAS membuat halangan bagi menyekat pengaliran air Sungai Kundang berikutan dikesan berlaku pencemaran.

“Siasatan lanjut LUAS bersama Air Selangor ke sebuah premis yang disyaki mendapati bau yang sama sehingga 10 ton dikesan di pelepasan akhir premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata Loy Sian, LUAS telah mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit untuk menghentikan discaj efluen serta-merta dan melaksanakan tindakan pembersihan segera.

Katanya, LUAS melaksanakan langkah nyah bau dengan meletakkan 12 beg bersamaan 300 kilogram activated carbon untuk mengawal pencemaran di lokasi pertemuan Sungai Kundang.

“Pensampelan dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di sekitar aliran Sungai Kundang dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa pengenalpastian kandungan bahan dan tindakan berkaitan selanjutnya.

Manakala insiden kedua pula katanya, melibatkan tumpahan minyak diesel dalam Tasik Putrajaya sekitar jam 9.35 pagi semalam, disebabkan kebocoran skid tank paip saluran bawah tanah Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Jelas beliau, siasatan mendapati minyak diesel telah mengalir ke longkang IKN dan telah masuk ke Tasik Putrajaya.

“Perbadanan Putrajaya (PPJ) telah mengarahkan IKN untuk melaksanakan kerja pembersihan dengan segera bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih teruk.

“Beberapa langkah mitigasi dijalankan oleh IKN merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan oil pad dan oil boom pada sistem saliran dan menyedut minyak yang telah bercampur.

“Insiden ini berpotensi mencemarkan Sungai Langat dan juga menyebabkan henti tugas LPA Bukit Tampoi yang terletak di bahagian hilir anggaran 10 kilometer dari spillway tasik berkenaan,” katanya.

Jelas beliau, pihak LUAS telah memohon kerjasama PPJ untuk meletakkan oil boom di kawasan spillway Tasik Putrajaya ke Sungai Langat bagi mengelakkan pencemaran berlarutan.

Menurutnya, pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak terlibat.

“Kedua-dua insiden semalam berjaya ditangani segera oleh LUAS, Air Selangor, PPJ serta agensi terlibat.

“Tiada henti tugas LPA dilaporkan dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna.

“Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette