Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah menyokong saranan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar gencatan politik dilakukan bagi memberi tumpuan terhadap usaha kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19 serta pemulihan ekonomi negara.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemulihan ekonomi perlu diberi perhatian khusus dan ia memerlukan kerjasama seluruh rakyat dengan cara menghentikan perbalahan politik (gencatan politik).

Beliau berkata, semua pihak perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi menumpukan terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat dengan menggandakan usaha membendung wabak itu daripada terus menular terutama di Sabah.

“Kita masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan kerajaan berusaha sedaya-upaya untuk menjamin kesihatan rakyat dengan menangani wabak itu sebaik mungkin.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ramai yang terkesan dan ekonomi negara turut terjejas teruk, namun kini sudah ada tanda-tanda pemulihan.

“Bagaimanapun, gelombang kedua penularan wabak ini membawa kesan negatif kepada kesihatan dan ekonomi rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sabah, yakin dua cabaran itu dapat diatasi apabila rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan untuk menumpukan seluruh jentera bagi memulihkan ekonomi dan mengekang pandemik Covid-19.

Menurutnya lagi, usaha harus digandakan bagi membendung penularan wabak tersebut terutamanya di Sabah yang mencatat jumlah kes semakin membimbangkan.

“Tiada gunanya kerajaan diberikan kuasa oleh rakyat namun, kehidupan rakyat terbiar dan terabai tanpa tumpuan pengurusan yang sistematik untuk membantu rakyat.

“Kerajaan Pusat dan negeri perlu bekerjasama memberikan keutamaan kepada perkara asas iaitu menyelamatkan dan melindungi nyawa rakyat dengan apa cara sekali pun,” ujarnya.

Tambah Bung Moktar, dengan kuasa yang ada pada kerajaan sebaik-baiknya digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat terlibat dengan menghulur bantuan kepada mereka yang terjejas dan tidak berkemampuan.

“Di peringkat kepimpinan UMNO Sabah, saya meminta kepimpinan bahagian turun padang memantau dan menghulurkan sumbangan walaupun dalam jumlah yang kecil bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan bantuan,” ujarnya.

Kelmarin, Ahmad Zahid meminta perbalahan politik perlu dihentikan, sebaliknya membantu usaha kerajaan menangani penularan pandemik Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara yang semakin menghimpit kehidupan rakyat ekoran pandemik tersebut. – MalaysiaGazette