Gambar hiasan

DHAKA – Kerajaan Bangladesh menerapkan pendekatan baharu iaitu “Tanpa Pelitup Muka, Tiada Layanan” di semua pejabat kerajaan dan swasta untuk mencegah penularan COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Perkara itu diputuskan selepas mesyuarat kabinet dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina pada Ahad.

Jurucakap Khandker Anwarul Islam ketika mengumumkan perkara itu pada Isnin berkata, mulai sekarang pemakaian pelitup muka di semua institusi awam dan swasta, pasar dan tempat-tempat ibadat lain adalah diwajibkan.

Sejajar dengan keputusan itu juga, mereka yang tidak memakai pelitup muka tidak akan dilayan jika berurusan dengan pejabat kerajaan dan swasta.

Selain itu, katanya, kabinet mahu pihak berkuasa melakukan pemantauan lebih ketat untuk memastikan semua pihak mematuhi arahan berkenaan.

Bangladesh melaporkan 1,308 kes dan 23 kematian baharu COVID-19 pada Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan 398,815 dan korban seramai 5,803 sejak 8 Mac, kata Direktorat Perkhidmatan Kesihatan.

Bangladesh mencatatkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 4,019 pada 2 Julai dan jumlah kematian tertinggi seramai 64 orang pada 30 Jun. – MalaysiaGazette