Gambar hiasan Foto Iqbal Basri

KUALA LUMPUR- Portal hartanah, iProperty.com berharap kerajaan memperkenalkan insentif penyewaan semasa pembentangan Belanjawan 2021 bagi merangsang industri hartanah.

Pengurus Besar Pemasaran dan Komunikasi iProperty.com Malaysia Sdn. Bhd., Wong Siew Lai berkata, insentif tersebut boleh diberikan kepada penyewa dan juga tuan rumah bagi menggalakkan permintaan dan penawaran.

“Ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19 mungkin mendorong lebih ramai orang untuk menyewa daripada membeli rumah. Lebih ramai juga yang bekerja dari rumah dan memberi lebih keutamaan kepada persekitaran hidup yang selesa dan kondusif.

“Menyewa boleh menjimatkan kos penginapan dalam jangka pendek.

“Sebagai contoh, kerajaan boleh memperkenalkan insentif kepada penyewa kali pertama dan berpengalaman.

“Pemilik rumah yang sukar untuk menjual hartanah mereka pada masa ini boleh mempertimbangkan penyewaan jika insentif yang menarik diperkenalkan untuk memanfaatkan tuan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu tambah Siew Lai, dasar pemilikan rumah untuk golongan muda perlu dikaji semula antaranya dengan memperkenalkan pelepasan cukai untuk faedah pinjaman rumah yang ditanggung pembeli kali pertama.

Beliau turut mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan pengurangan cukai duti setem untuk pembeli rumah kali pertama dilanjutkan selepas Kempen Pemilikan Rumah berakhir 31 Mei 2021.

Ujarnya, insentif itu juga boleh diperluaskan ke pasaran sekunder (rumah subsale).

iProperty.com juga mencadangkan supaya Program Malaysia Rumah Keduaku dihidupkan semula bagi menggalakkan pelaburan asing di pasaran hartanah tempatan di samping memudahkan proses permohonan yang lebih mesra pelabur.

“Kami berharap belanjawan baharu ini akan memperbaiki inisiatif Cukai Keuntungan Harta Tanah yang sedia ada dengan menghapuskan atau melonggarkan had unit pelupusan setiap individu untuk meningkatkan keyakinan di kalangan penjual hartanah.

“Ini akan membantu merangsang lebih banyak transaksi dan mendorong penjual untuk memanfaatkan penjimatan daripada pengecualian ini kepada pembeli,” tambahnya lagi.- MalaysiaGazette