Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan supaya tiada sebarang pertandingan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi sebaliknya semua sebulat bersetuju meletakkan hanya calon Warisan di kerusi tersebut.

Kata Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, cadangan itu sebagai memberi laluan kepada keseluruhan rakyat Malaysia di negara ini untuk melawan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

“Sebagai langkah pertama lawan perang Covid-19, saya seru semua rakyat Malaysia dan parti-parti politik untuk mencapai persetujuan bahawa seorang calon Warisan patut diberikan laluan menang PRK Batu Sapi.

“Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan yang hari penamaan calon akan berlangsung pada 23 November dan hari pengundian akan berlangsung pada 5 Disember.

“Perkara ini akan mengekalkan status quo di Parlimen,” tulis Kit Siang dalam blognya sebentar tadi.

Kit Siang berkata, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya fokus kepada situasi semasa di Sabah, serta jalan penyelesaian memandangkan negeri itu kini menjadi pusat penularan utama wabak Covid-19.

“Jumlah kes terkumpul kes Covid-19 dalam negara kita kini berada pada kadar 26,565 kes, mengatasi Korea Selatan, daripada tempat ke-89 di seluruh dunia ke tempat ke-88.

“Kita tidak boleh terus lalai. Malah, tidak ada sebab untuk kita gagal melakukan yang lebih baik berbanding dengan Thailand dalam peperangan melawan wabak Covid-19 ini memandangkan Thailand mempunyai dua kali ganda jumlah penduduk berbanding Malaysia.

“Thailand kini berada di tempat ke-146 dengan 3,766 kes terkumpul Covid-19 dan 59 kematian berbanding dengan 26,565 kes dan 229 kematian di Malaysia.

“Rakyat Malaysia berhak untuk mendapat yang lebih baik dan kita perlukan berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam usaha melawan Covid-19,” tegasnya. -MalaysiaGazette