Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengambil tindakan tegas dan muktamad bagi memerangi pasaran rokok seludup bagi melindungi perniagaan dan juga masyarakat daripada impak negatif yang besar kesan daripada perdagangan haram itu.

Presiden Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA), Joseph Anak Janting berkata, rokok seludup telah meragut 65% bahagian pasaran di Malaysia hari ini, sebagaimana dianggarkan oleh Euromonitor International.

Ini meletakkan Malaysia berada pada kedudukan teratas di dunia bagi insiden-insiden pasaran rokok seludup.

“Malangnya, kajian juga mendapati bahawa penguasaan pasaran bagi rokok seludup di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi berbanding purata kebangsaan, iaitu 84.2% di Sarawak dan 861% di Sabah, menurut Kajian Rokok Tidak Sah pada Julai 2020 oleh Nielsen.

“Apakah ini bermakna kedua-dua negeri ini merupakan kawasan paling teruk di dunia dari segi pasaran rokok seludup? Sebagai anak Sarawak, saya berasa sedih dan sangat bimbang terhadap isu ini,” kata Joseph.

Menurut Joseph, begitu teruknya berleluasa rokok seludup di dalam masyarakat bukan sahaja nanti memberi impak ke atas kerajaan dan perniagaan dari segi kehilangan hasil, ia juga mengancam masyarakat kerana pasaran rokok seludup membiayai aktiviti jenayah, menggalakkan rasuah dan
menjejaskan kesihatan.

“Kita mendedahkan golongan remaja dan anak-anak kita kepada elemen jenayah dan tabiat buruk dengan membenarkan rokok seludup berkembang di negeri kita.

“Adalah jelas, harga merupakan faktor utama di sebalik permasalah serius ini. Bahagian terbesar di dalam masyarakat kita di Sabah dan Sarawak datangnya daripada golongan berpendapatan rendah. Pakar-pakar bersetuju bahawa kumpulan ini berkemungkinan besar menjadi perokok dan menjadi
pengguna produk pasaran gelap.

“Memandangkan harga rokok sah adalah empat hingga lima kali tinggi berbanding rokok seludup, ini tentunya mendorong dagangan pasaran gelap, membolehkan rokok seludup menguasai keseluruhan pasaran,” katanya.

Oleh itu, TRADA menggesa Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak supaya bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu secara pelbagai serampang mata dan pelbagai lapisan.

Ini termasuk mengkaji semua duti eksais dan dasar percukaian yang menyebabkan rokok sah menjadi tidak mampu dibeli, memberikan lebih banyak sumber bagi mengukuhkan sempadan negara dan juga menubuhkan dana pendidikan pengguna yang khusus bertujuan mendidik pengguna di Sabah dan Sarawak supaya tidak membeli produk pasaran gelap.

“Bajet 2021 Kerajaan Persekutuan yang akan datang adalah peluang terbaik untuk mengadakan langkah-langkah yang boleh menangani isu endemik ini secara lebih menyeluruh dan tuntas.

”Sabah dan Sarawak mesti memecahkan cengkaman pasaran rokok seludup demi kesejahteraan rakyat dan memelihara pertumbuhan ekonomi,” tambah Joseph.- MalaysiaGazette