Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor bersedia jika kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi fasa seterusnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PKPB fasa pertama bagi Selangor yang bermula 14 Oktober lalu akan tamat menjelang tengah malam esok.

Namun, katanya, sama ada dilanjutkan atau sebaliknya akan ditentukan kerajaan Persekutuan yang membuat keputusan berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Kalau mengikut pendirian, kita ada pendirian tertentu, namun kuasa kerajaan Persekutuan harus dilaksanakan dengan arahan terkini.

“Ada baiknya keputusan lanjutan PKPB dibuat untuk mengekang aktiviti yang boleh menggalakkan penularan Covid-19.

“Oleh itu, kerajaan negeri bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya di Shah Alam, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, kira-kira 1,200 wakil rakyat dan petugas, termasuk kakitangan media membuat saringan sempena persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) Jumaat ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan sidang dewan berjalan lancar dan selesa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19.

“Selagi mana kita berdepan dengan Covid-19 dan belum menemui vaksin, inilah realiti kehidupan yang perlu dipatuhi dan kita perlu ikut SOP.

“Rakyat perlu sentiasa berhati-hati dengan kes yang semakin meningkat di beberapa mukim dan lokatiti sehingga kita dapat penawar atau vaksin,” katanya. – MalaysiaGazette